PERNAH menjadi mangsa kecaman netizen pada awal kemunculannya sebagai bakat baharu, penyanyi Aufahanie kini menjadikan pengalaman itu sebagai ‘coping mechanism’ bagi berdepan cabaran dalam industri seni muzik.
Mengenang kisah pahitnya sebagai seorang penyanyi baru, Aufa atau nama sebenarnya Nur Aufahanie Mokhtar, 21, menyatakan sering dilanda air mata akibat kecaman yang diterima daripada netizen.
Situasi menyedihkan itu sehinggakan keluarganya terpaksa bertindak tegas dengan menyekat akses telefon bimbit dan menasihatinya agar tidak membaca kritikan negatif tersebut.
“Kenangkan diri, kalau dahulu baca komen menangis tau. Pernah sampai keluarga pun cakap janganlah baca.
“Sampai mereka pernah ambil telefon saya dan cakap jangan buka telefon tu. Sebab memang teruk waktu tu,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital X Fyp Media di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Pada masa sama, Aufa turut menyatakan bahawa kecaman tersebut kini telah menjadi sumber hiburan atau ‘coping mechanism’ bagi dirinya biarpun hakikatnya ia masih berbekas dalam hati.
Bagi mengurangkan kesan tersebut, Aufa telah mengambil langkah untuk tidak membaca komen-komen negatif di media sosialnya.
“Sekarang kalau baca dia dah macam lebih kepada ketawa. Itu bukan tak terasa tau, masih terasa. Tapi ia lebih kepada ‘coping mechanism’ orang kata.
“Macam ketawa nak bagi hati rasa lega. Sebenarnya kita terasa.
“Tapi sekarang saya dah tidak perlu baca benda-benda macam ni.
“Makin terbiasa untuk tidak baca komen negatif dan kurangkan dekat media sosial,” katanya lagi.
Menurut bekas peserta Vokal Mania itu lagi, tahun pertamanya dalam industri muzik di penuhi dengan cabaran terutama semasa menyertai pertandingan nyanyian di TV3.
Pada awalnya, Aufa meragui kebolehan dirinya, tetapi pengalaman tersebut akhirnya memberi keyakinan dan kestabilan untuk membuat persembahan di atas pentas.
“Saya masih baru. Tahun pertama saya dekat dalam industri pun sebenarnya pernah dikecam daripada satu pertandingan, Vokal Mania dulu.
“Ramai tahu sebenarnya, Jadi, itu cabaran saya yang pertama. Tapi awal-awal kita rasa macam susah. Kenapalah aku kena macam ni? Kenapa aku nyanyi macam tu?
“Tapi sebenarnya benda tu yang buat saya semakin baik sekarang. Perkara tu yang buat saya rasa lebih stabil untuk buat persembahan atas pentas,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Aufa berkongsi perkembangan terbarunya yang bakal turut serta dalam konsert By Ajai and Mega Friends yang dianjurkan oleh komposer terkenal, Ajai pada 3 Ogos depan.
Konsert tersebut turut akan menampilkan barisan penyanyi terkemuka tanah air seperti Aina Abdul, Dayang Nurfaizah, Hafiz Shuip, dan Hazama.
Jelas Aufa, ketika ini dia masih belum lagi memulakan sebarang persiapan seperti sesi latihan.
Katanya lagi, semua itu akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri seperti yang dimaklumkan oleh Ajai.
“Jadi, Abang Ajai kata kita fokus puasa dahulu. Lepas Raya kita akan teruskan.
“Kemudian kelas vokal semua lepas raya lah. Ya, semua lepas Raya,” tuturnya.
Karier seni, pelajaran seimbang
Bergelar pelajar tahun pertama di sebuah institusi pengajian tinggi swasta dalam jurusan Komunikasi Media, Aufa tidak berdepan kesukaran untuk mengatur jadualnya.
Kongsi pelantun lagi Geming Jiwa itu, pensyarah yang mengajar sangat memahami dan sentiasa memberikan sokongan kepadanya untuk berjaya dalam dua bidang.
Ini kerana pensyarah sangat memahami tekanan yang dihadapinya dalam industri seni yang cukup membuatkan dia bersyukur.
“Saya ‘one-two-one’ sahaja kelas dengan pensyarah. Jadi bila ada kerja atau ada persembahan, saya akan bincang dengan pensyarah sama ada perlu gantikan kelas atau sebaliknya.
“Kalau saya kerja petang, kelas boleh buat pagi.
“Kadangkala pensyarah saya akan buat kelas secara dalam talian. Jadi selalu buat penyesuaian. Alhamdulillah,” katanya.
Bekas peserta musim kelima Big Stage itu juga bakal melancarkan single ketiga dengan genre balada selepas tamat konsert bersama Ajai.
Aufa juga berhasrat untuk keluar dari zon selesa iaitu ingin mencuba pelbagai genre lain selain balada. Antaranya pop dan rap seperti karya penyanyi Luqman Podolski pada masa akan datang.

