PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza,45, akui terhutang budi dengan jasa pihak media yang banyak membantu karier seninya sejak hampir 30 tahun lalu.
Menurut Siti, tanpa pengamal media, semua rakyat Malaysia tidak akan dapat mengetahui tentang selebriti kegemaran mereka. Dia turut menyatakan bahawa dahulu sebelum wujudnya media sosial seperti sekarang, pengaruh artis itu terkenal bermula daripada pengamal media.

Siti yang juga Pengerusi dan Pengasas Yayasan Nurjiwa bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, turut berterima kasih kepada pengamal media yang sejak awal setia membantu pembabitannya dalam industri seni.
Terkesan dengan nasib pengamal media yang diduga dengan pelbagai ujian, Siti menerusi Yayasan Nurjiwa menghulurkan bantuan sekaligus memberi senyuman kepada mereka sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.
Biarpun beberapa rakan media tidak dapat menghadiri majlis berbuka puasa malam tadi, bantuan tetap diberikan. Dia telah menganggap rakan-rakan media seperti keluarganya sendiri.
“Kalau tidak ada media dulu, memang semua rakyat Malaysia nak tahu tentang selebriti kesayangan mereka memang melalui pengamal media. Macam saya cakap dulu, tiada TikTok dan media sosial.
“Pengaruh artis itu sampai terkenal, macam saya sendiri memang bermula dengan pengamal media, rakan-rakan media yang membantu saya dari awal, jadi inilah masa untuk membantu semula walaupun tidak banyak tapi inshaAllah meringankan beban rakan media yang begitu dekat dengan saya.
“Saya ada rasa sedih, terharu dan gembira pun ada sebab bila kita tengok orang-orang yang melihat saya membesar dalam industri ini, jadi momen-momen lama muncul kembali.
“Abang Joha (Joha Ahmad), saya ingat dapat jumpa Huzz tapi dia tidak sihat. Cik Li (Rosli Manah) wartawan pertama yang tulis tentang saya, oleh kerana keadaannya yang tidak mengizinkan tidak dapat hadir, sumbangan masih diberikan cuma waktu untuk bertemu di lain hari.
“Saya doakan semoga diberikan kesembuhan dan kesihatan yang lebih baik kepada mereka, mereka seperti keluarga kepada saya, ada yang menegur, mengusik saya, kita sudah seperti satu keluarga,” katanya kepada URTV.

Wartawan lain yang turut diraikan dan menerima sumbangan ialah Nas Ahmad (Melodi), Bob, Muhammad Basir (suami bekas jurugambar Utusan Malaysia,Allahyarham Noor Azlina Jaafar), Serimah dan ramai lagi.
Bukan itu sahaja, Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional turut menyantuni artis veteran antaranya Zaiton Sameon, Roy, Ali XPDC, Roslan Ahmad, Rashidah Jaafar, Dharma Harun, Mak Wan dan ramai lagi.
Malah, 60 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Permata Hatiku dan Rumah Pendidikan dan Kebajikan Al-Firdaus serta seramai 40 orang ibu tunggal dari Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GerakWanis) dan Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati) turut hadir dalam Majlis Iftar Nurjiwa Prihatin di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin Nasional, Datuk Aizuddin Ghazali menzahirkan rasa syukur dan berbesar hari atas kepercayaan yang diberikan oleh Yayasan Nurjiwa kepada Yayasan Prihatin Nasional untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam penganjuran majlis iftar ini, serta meneruskan kerjasama dalam pelbagai program kebajikan untuk masa hadapan.
“Menjalin kerjasama dengan Yayasan milik penyanyi terkenal tanah air, merupakan satu penghormatan besar buat Prihatin.
“Kemuliaan dan kemurahan hati Datuk Seri Siti Nurhaliza wajar dijadikan contoh oleh semua pihak dan juga badan bukan Kerajaan yang lain dalam meningkatkan usaha membantu golongan yang memerlukan khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Sekadar info, ini bukan kerjasama yang pertama dilakukan oleh Yayasan Prihatin dan Siti bagi membantu golongan kurang berkemampuan kerana dia telah dinobatkan sebagai Ikon bagi Program Townhall Ikon Nasional yang dianjurkan oleh Prihatin pada 2023.

