SELEPAS membiarkan netizen membuat andaian sendiri mengenai hantaran di Instagram Story, Ruhainies tampil menjelaskan video dia bersama Aliff Aziz lengkap berpakaian serba putih di Lapangan Terbang Kuala Lumpur itu hanyalah babak lakonan.
Menjelaskan spekulasi yang tersebar, video tersebut dirakam sebelum memulakan penggambaran drama Terjerat.
Ruhainies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas,31, kesal dengan penyebaran video tersebut sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap mereka.

“Perkongsian video di Instagram Story hanya kurang dari 15 minit, video tersebut dah ‘viral’ di TikTok, Instagram dan Facebook.
“Ia menunjukkan betapa teruknya mentaliti kita. Pemikiran anda penuh dengan negativiti.
“Itu video orang berdoa sebelum mula bekerja (shooting). Ia memang menunjukkan dunia ini terlalu tenat dan penuh dengan fitnah,” tulisnya.
Pada masa sama, Ruhainies menitipkan pesanan kepada netizen agar menjaga setiap perkataan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
“Dengan mudahnya manusia sekarang dapat dosa kering. Jaga lidah, jaga lisan.
“Hari Jumaat dan pada bulan ramadan, muhasabah. Pesanan pada diri sendiri juga.
“Semoga doa yang baik atau sebaliknya berbalik pada anda juga,” katanya.
Sebelum ini, Ruhainies berkongsi video yang memaparkan dirinya berdiri bersebelahan Aliff yang sedang membacakan doa.
Mereka berdua berpakaian sedondon rona putih seolah sedang bersiap sedia untuk berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah umrah.
Hantaran tanpa deskripsi lengkap itu telah mengundang salah faham warganet yang mula membuat pelbagai spekulasi.
Terdahulu, pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan Ruhainies ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Susulan itu, kedua-dua mereka menjadi sasaran kemarahan netizen sebelum Aliff dan Ruhainies tampi memohon maaf namun menafikan dakwaan mereka berkhalwat.
Lebih menyedihkan, isteri Aliff iaitu Bella Astillah turut memfailkan penceraian secara ekspres terhadap Aliff pad 13 Mac lalu dan kes itu bakal disebut semula pada 4 April ini.

