
KEHANGATAN Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang akan membuka tirai dengan proses penamaan calon pada Sabtu ini semakin terasa bahangnya.
Parti-parti yang bertanding bukan sahaja membuat persiapan dalaman khususnya melibatkan calon tetapi juga mula melancarkan perang psikologi antara satu sama lain. Turut menarik perhatian ialah keputusan MCA untuk tidak akan berkempen bagi membantu calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
MCA ternyata tersinggung dan merasakan maruah mereka tercabar apabila pemimpin-pemimpin DAP terus memperkotak-katikkan MCA serta melayan parti itu bagaikan ‘’melukut di tepi gantang’’.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong membangkitkan tindakan pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung, Anthony Loke secara terbuka dan tidak berselindung menghina serta menggores hati akar umbi MCA dengan pelbagai tuduhan.
Kata beliau dalam satu kenyataan, kelmarin, perbuatan angkuh Anthony mengatakan bahawa beliau tidak suka MCA dan melabel MCA sebagai parti tauke yang jelas merupakan fitnah berniat jahat memburuk-burukkan MCA.
““Sebelum itu, seorang lagi pemimpin berpengaruh iaitu Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok juga secara terbuka dengan angkuh menghalau MCA keluar daripada BN. Tidakkah ini satu penghinaan kepada BN apabila beliau sewenang-wenangnya mengarahkan sedemikian? Sejak bila DAP berhak menentukan hala tuju BN? Ada juga yang kata calon DAP adalah calon BN. Sejak bila DAP jadi komponen BN?” tegas beliau.

Walaupun Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr.Zambry Abd.Kadir berkata, BN tidak ada masalah untuk menyokong calon PH dalam PRK itu, namun MCA ada pendirian sendiri.
Zambry pasti memahami perasaan MCA berikutan tindakan pemimpin DAP, atas sebab itulah bekas Menteri Besar Perak itu cuba menenangkan keadaan dengan meminta rakan komponennya serta parti dalam Kerajaan Perpaduan lain lebih berwaspada dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, bagi mengelak hubungan keruh dalam semangat persefahaman yang dibina di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Ini sangat penting untuk kita menjaga dan mengawal sebarang kenyataan terhadap parti tertentu termasuklah dengan menyatakan sama ada parti tertentu itu relevan atau tidak relevan,’’ katanya.
Tetapi adakah kenyataan Zambry itu akan dipatuhi oleh pemimpin PH terutamanya DAP? Penulis tidak yakin itu akan berlaku, sebaliknya penulis ‘tabik’ kepada Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang secara tegas menyatakan pendirian parti itu demi prinsip dan maruah parti tersebut yang selama ini dihina, dimaki hamun dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan liar oleh DAP.
Dalam kenyataan terbaru hari ini, Ka Siong berkata, pendirian tersebut bukan soal tidak mahu berjiwa besar tetapi prinsip dan maruah MCA perlu dipertahankan.
“Harap-harap semua faham ya,” kata Ka Siong menerusi rakaman video yang disiarkan di media sosial parti tersebut.
Beliau turut membidas DAP yang selama ini begitu angkuh ‘bantai’, caci dan maki hamun MCA tetapi sekarang mahu parti tersebut membantu dalam kempen PRK KKB.
“Sekarang kamu mahu MCA berjiwa besar? Apa kamu ingat MCA ni tak ada maruah atau takda perasaan ke? Apabila ahli parti saya terguris dengan kata-kata penghinaan pemimpin DAP, adakah saya selaku Presiden MCA hanya berdiam diri sahaja?
“Ini soal maruah dan dignity (martabat) parti saya. Takkan saya nak bersabar lagi. Selepas dicaci oleh parti itu, takkan nak suruh ahli-ahli MCA ‘mencium mulut’ dengan pemimpin dia atau penjilat pemimpin dia parti itu? Sorry ye,” bidas beliau lagi.
Sememangnya Ka Siong dan MCA berhak marah kepada DAP yang dilihat oleh pemerhati politik mula ‘naik tocang’ dan semakin angkuh dalam tindak tanduk politik mereka sejak menjadi parti yang memiliki kerusi Parlimen paling banyak dalam kerajaan.
Bukan kata MCA, malah UMNO juga sedikit sebanyak terkena tempias keangkuhan DAP apabila pemimpin DAP mahu UMNO dan BN membalas budi PH di DUN Pelangai dengan memastikan kemenangan calon DAP di Kuala Kubu Bharu.
Itu hanya satu contoh, ada lagi beberapa lagi tindakan DAP yang dilihat menyinggung perasaan ahli-ahli UMNO namun berbanding MCA yang sama sekali tidak akan membiarkan mereka diperkotak-katikkan oleh DAP, kepemimpinan UMNO ‘mempunyai tahap kesabaran tinggi.’
Pemimpin UMNO tetap mengambil jalan selamat demi mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan lebih penting terus sama-sama berkongsi kuasa biarpun ada yang mentafsirkan parti itu terhutang budi dengan DAP kerana menerima UMNO dalam kerajaan.
Walaupun berada dalam gabungan parti yang sama iaitu BN namun pendekatan dan ketegasan antara UMNO dan MCA berbeza, MCA sama sekali tidak akan tunduk kepada DAP manakala UMNO pula seperti kata pemimpinnya, ‘’berunding dengan DAP lebih senang berbanding berunding dengan Bersatu dan Pas.’’
Mungkin atas dasar itulah UMNO bersedia berhadapan dengan apa juga kenyataan oleh pemimpin DAP terhadap parti itu atas semangat ‘Kerajaan Perpaduan’ dan tidak mahu Perikatan Nasioanal (PN) menang di Kuala Kubu Bharu.
Apapun PRK DUN Kuala Kubu Bharu mungkin tidak akan mengubah apa-apa kedudukan Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tetapi dari segi isyarat politik, ia amat penting kepada PH.
Kerusi itu boleh dijadikan referendum kepada Kerajaan Perpaduan jika PH tewas memandangkan terdapat banyak rungutan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan ketika ini.
Selain itu,DUN Kuala Kubu Bharu bukanlah kubu PH biarpun akan mendapat sokongan padu UMNO bagi meraih undi pengundi Melayu. Ia kerana keputusan pilihan raya sebelum ini menunjukkan sokongan kepada PH semakin terhakis sekaligus memberi bayangan laluan getir menanti mereka pada hari pengundian 11 Mei nanti.
Dan perlu diingat juga biarpun satu kerusi DUN namun tidak mustahil ia adalah gambaran sebenar corak pengundian atau tahap sokongan kepada kerajaan dalam pilihan raya – pilihan raya seterusnya.

