AKTOR Hisyam Hamid,39, yakin ramai pihak telah sedia maklum mengenai status perkahwinannya yang pernah didedahkan sebelum ini.
Hisyam yang juga artis kelahiran Singapura akui lebih selesa untuk menyatakan hubungannya dengan Rosmawati Hanafi atau Mel Rose masih lagi kekal baik.
“Saya tidak mahu oleh kerana satu detik hitam yang berlaku antara kami memusnahkan hubungan ini.
“Buat masa ini kami rasa jalan yang terbaik adalah untuk kami tidak lagi menjadi suami isteri.
“Kami hanya mahu fokus mara ke depan. Masing-masing sudah pun membawa haluan sendiri. Apa paling penting, kami sama-sama ada tanggungjawab terhadap anak-anak dan mereka juga berada di bawah penjagaan saya,” katanya kepada URTV.
Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambahnya lagi, Mel masih kekal sebagai pengurusnya dan mereka juga tetap berkomunikasi baik setiap hari.
“Tak ada yang salah atau negatif untuk kami teruskan demi anak-anak. Apa yang berlaku sudah berlaku. Buat masa ini kami selesa berkawan baik tapi lebih dari itu saya tak pasti, masa yang akan menentukan.
“Pada akhirnya dia adalah ibu kepada anak-anak saya. Hampir 20 tahun kami bersama, tidak semuanya buruk dan negatif. Banyak benda positif yang kami lalui.
“Dia melahirkan dua anak saya, itu adalah satu pengorbanan besar. Momen itu saya hargai dan hormat dia,” ungkapnya.
Sementara itu, Hisyam turut mengulas mengapa dia sering mengelak ditanya mengenai status perkahwinan adalah disebabkan ingin menjaga emosi dan mental anak-anaknya.
“Sejak dulu, apa sahaja yang saya buat, saya akan pastikan tidak ada kontroversi yang menjejaskan anak-anak saya, saya mahu beri contoh terbaik pada mereka.
“Begitu jugalah bila hal ini ditanya, saya tidak mahu pada akhirnya berita itu memberi kesan pada mereka atau mereka tahu dari sumber lain,” katanya.
Oktober tahun lalu, Hisyam pernah menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dia dan isteri sudah sah bercerai.
Kata Hisyam, dia mengambil pendekatan untuk menjaga nilai eksklusiviti dengan tidak terlalu berkongsi kisah peribadi di media sosial.
Untuk rekod, Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati pada 2006.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15 tahun.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

