DUA Pegawai Kanan polis masing-masing berpangkat Asisten Komisioner (ACP) dan Deputi Superitendan (DSP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.25 juta dipercayai bagi menutup siasatan membabitkan pembelian senjata api oleh seorang warga Israel, pada April lalu.
Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, ACP Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency, JSJK Bukit Aman, DSP Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah.
Khiam Kong dan Suhairon membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa selaku Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah secara rasuah bersetuju dan menerima suapan wang tunai sebanyak RM1 juta daripda seorang ahli perniagaan Khoo Zixian, 28, sebagai dorongan bagi menutup siasatan jenayah ke atas lelaki berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat, Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik / Cryptocurrency, JSJK di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan di ruang letak kereta, Tingkat 1 menara sama, sekitar pukul 12 tengah hari sehingga 4.40 petang pada 8 April lalu.

Sementara itu, Khiam Kong turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara rasuah telah bersetuju dan menerima suapan wang tunai sebanyak RM250,000 daripada lelaki yang sama bagi tujuan serupa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Pejabat Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik/Cryptocurrency, JSJK di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sekitar jam 12.30 pada 18 April 2024 dan Tempat Letak Kereta Berbayar, di belakang menara sama sekitar jam 10.30 pagi sehingga 1 petang, 19 April 2024.
Justeru pertuduhan ke atas kedua-dua pegawai polis itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694].
Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir mencadangkan agar kedua-dua tertuduh dibenarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam Jacky Loi Yap Loong yang mewakili Kiam Kong memohon jaminan ditetapkan pada kadar RM20,000 selain membantah cadangan syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.
“Anak guam mempunyai empat orang anak berusia antara 27 tahun sehingga 18 tahun. Anak beliau yang berusia 18 tahun masih bersekolah dan tertuduh perlu menghadirkan diri pada sesi perjumpaan ibu bapa di luar negara pada Jun depan.
“Tertuduh turut memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan pihak polis dan beliau tiada risiko melarikan diri memandangkan beliau merupakan seorang pegawai polis berpangkat ACP dan telah berkhidmat bersama PDRM selama 29 tahun,” katanya.

Manakala peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Suhairon memohon jaminan ditetapkan pada kadar RM15,000 atas alasan anak guamnya itu tiada risiko melarikan diri memandangkan masih bertugas sebagai pegawai polis sejak 20 tahun lalu sehingga kini.
“Isteri tertuduh tidak bekerja dan mempunyai seramai empat orang anak yang masih sekolah selain keluarga terdekat beliau bukan keluarga berada. Beliau turut menanggung ibu yang tinggal berseorangan di kampung,” kata peguam itu.
Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang atau dua penjamin warganegara dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Julai depan sebagai sebutan semula kes.
Sebelum ini pada 10 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata pihaknya menahan tiga pegawai berpangkat ACP, DSP dan Inspektor dari JSJK Bukit Aman, di sekitar Jalan Tun Razak bagi membantu siasatan kes pemerasan RM1.25 juta.
Selain itu, dua lagi turut ditahan ialah masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan selain seorang lagi Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan sama.
Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan polis kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap individu yang disiasat oleh mereka berhubung kes mata wang kripto.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

