PELAKON, Datin Fouziah Gous sentiasa meletakkan kepercayaan terhadap suami dalam pelbagai perkara.
Ujar Fouziah, 41, sungguhpun suami berada di luar negara namun hatinya kekal tenang kerana ingin menghidupkan suasana positif.
Baginya, setiap masalah yang dihadapi perlu dikongsikan kepada pasangan dan saling mempercayai.
“Suami saya sekarang berada di luar negara dan saya tidak tanya atau ganggu dia.
“Saya rasa mungkin kita dah percaya tapi jika dia patahkan kepercayaan, itu lain pula.
“Saya sentiasa berserah, saya berdoa Ya Allah kalau suamiku buat perkara bukan-bukan minta dijauhkan. Kita nak tenang.
“Daripada kacau dia, hati tak tenang, hidup tak aman buatkan fikiran kacau-bilau dan wujud pemikiran negatif.
“Kalau ada masalah dan sebagainya itu antara saya dan dia. Untuk isu kepercayaan ini, dia sangat senang dengan saya. Saya jarang keluar dan dia bersama saya pun jarang timbul masalah,” katanya kepada URTV ketika ditemui di majlis bacaan yassin dan pelancaran Tabung Bersamamu Rafah 2024 di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pentingnya ilmu rumah tangga
Selain itu, dia turut mengulas mengenai isu keretakan rumah tangga yang sering menjadi perbualan hangat netizen terutama melibatkan selebriti tempatan.
Ujar Fouziah, persefahaman sewajarnya perlu dibina sejak dari awal lagi kerana setiap pasangan memiliki perbezaan terutama dari sudut demografi.
“Sebenarnya, perkara ini perlu dibina dari awal, susah nak samakan dengan sesiapa pun. Kita ada perbezaan latar belakang, keluarga dan pembesaran yang berbeza.
“Gabungan saya dan dia juga berbeza. Saya kahwin baru bercinta…sudah 11 tahun masih lagi ingin memahami dirinya.
“Saya baru faham, kenapa Allah suruh berkahwin dan tidak bercinta lama. Bila ada yang tak kena terus putus.
“Bila berkahwin ini, kita akan ambil dari sudut positif dan cuba menerima. Lama-kelamaan dia pandai ambil hati dan saya cuba belajar kerana saya sangat berdikari dan sibuk bekerja.
“Saya tidak kata saya bagus, tapi Alhamdulillah sangat bersyukur sebab pemahaman dan ilmu-ilmu yang kami belajar bersama itu membantu lebih kekal.
“Saya rasa dalam rumah tangga sangat penting untuk berilmu dan berguru dengan orang yang boleh beri positiviti pada minda kita,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Fouziah mendirikan bahtera perkahwinan bersama seorang ahli perniagaan iaitu Datuk Zhafran Yusof pada 21 September 2013.
Menerusi perkahwinan ini, mereka memiliki dua cahaya mata iaitu Zeeshan Yusuf,9, dan Zaheen Yusof yang kini berusia 7 tahun.

