IBU bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin berada dalam keadaan tertekan selepas ditahan dan direman sejak Jumaat lalu kerana disyaki membunuh anak mereka pada Disember tahun lalu.
Peguam yang mewakili kedua-dua suspek berkenaan, Ilyani Khuszairy yang memaklumkan perkara itu turut memberitahu bahawa bapa Zayn Rayyan juga menangis ketika ditemui sebelum prosiding status reman pasangan suami isteri itu bermula.
“Kami sempat berjumpa dan bercakap seketika dengan mereka. Bapa Zayn berada dalam keadaan yang sangat tertekan dan ia dapat dilihat pada air muka dia.
“Bapa Zayn juga menangis ketika kami bertanyakan soalan kepada beliau dan beberapa kali mengatakan pembunuh sebenar Zayn masih ada di luar,” kata peguam itu.
Ilyani berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan lobi Mahkamah Petaling Jaya selepas selesai mewakili pasangan itu bagi status reman mereka.

Sementara itu, Ilyani memaklumkan bahawa ibu Zayn berada dalam keadaan sihat, namun turut tertekan dan sangat sedih.
“Dia (ibu Zayn) bercakap pun tak banyak. Mungkin dia masih lagi dalam keadaan terkejut dan tertekan semasa berada dalam tempoh reman selama tujuh hari,” ujarnya lagi.
Menurut beliau lagi, pasangan itu memberitahu pihak polis memberikan layanan yang baik sepanjang tempoh reman setakat ini.
Kedua-dua suspek itu turut diwakili oleh seorang lagi peguam, Fahmi Abd Moin.
Sementara itu, datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd Reba menyatakan hasrat mahukan keadilan buat kematian cucunya.
“Saya mahu keadilan untuk cucu saya dan ibu bapa dia,” katanya kepada media.
Zahari hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bersama ahli keluarga yang lain bagi memberi sokongan terhadap ibu dan bapa Zayn Rayyan yang dihadapkan ke mahkamah pagi ini.

Ahli keluarga yang hadir dipercayai seramai lebih 20 orang itu melaungkan “Keadilan untuk Zayn, Zaim dan Isma” sambil memegang sepanduk yang tertera kata-kata sokongan buat mereka.
Malah, Zahari turut kedengaran melaungkan ‘pembunuh masih ada di luar’ dengan nada yang tegas sambil disahut ahli keluarganya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

