DARI pentas komedi ke dunia keusahawanan, pelakon dan juruhebah popular Johan kini menambah satu lagi pencapaian besar dalam hidupnya iaitu bergelar usahawan motosikal elektrik (EV).
Menerusi syarikat miliknya, Hanania Group Sdn. Bhd, Johan mengorak langkah berani dengan pembukaan Pusat Pameran Motosikal Elektrik (EV) GGR x Johan di Melawati Square, Kuala Lumpur.
Lebih menarik, pelancaran bersejarah ini disempurnakan oleh sahabat baiknya sendiri, Khairy Jamaluddin, bekas Menteri Kesihatan yang kini rakan penyampai radio di Hot FM.

Johan atau nama penuhnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 41, bukan nama asing dalam dunia hiburan.
Tapi siapa sangka, selepas kejayaan restoran Itik Ke Ayam?, dia kini memacu perubahan dengan melangkah ke arena automotif hijau.
Melalui kolaborasi strategik bersama GGR Motor, Johan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan GGR Legacy (M) Sdn. Bhd, sekaligus memeterai kerjasama rasmi dalam pemasaran motosikal elektrik di Malaysia.

“Pembukaan pusat pameran ini mencerminkan komitmen kami untuk terus berkembang serta menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di seluruh negara,” ujar Johan penuh semangat.
Apa yang membuatkan pembukaan ini lebih bermakna, ia bukan sekadar pembukaan kedai tetapi simbolik kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi hijau dan mobiliti mapan, sejajar dengan agenda pembangunan lestari negara.
Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi (Dekmat), Johan bukan sekadar rakan perniagaan, tetapi sahabat sejati yang sentiasa memberi semangat.

“Saya takkan lupa, waktu susah dulu pun Johan tetap datang bagi dorongan.
“Hari ini, bila dia buka pusat EV sendiri, saya rasa sebak, sebab kami sama-sama bermula dari bawah,” katanya.
Menariknya, motosikal elektrik keluaran GGR ini direka khas untuk kegunaan harian dengan tiga mod kelajuan (35km/j hingga 70km/j) dan masa pengecasan sekitar enam jam.
Kos penyelenggaraannya juga jauh lebih rendah berbanding motosikal biasa kerana tidak memerlukan servis enjin berkala.
Tambah manis, motosikal ini hadir dengan waranti 50,000km serta enam pilihan warna trendi seperti merah, putih, kuning, oren, biru cair dan merah jambu.

Lebih mengujakan, harga selepas rebat kerajaan hanyalah RM1,569 seunit menjadikannya antara motosikal elektrik paling mampu milik di pasaran!
Rebat ini boleh dipohon sehingga Disember 2025, dengan syarat pemohon berpendapatan tahunan tidak melebihi RM100,000.
Proses kelulusan biasanya mengambil masa dua minggu, dan pembelian mesti dibuat dalam tempoh sebulan selepas permohonan diluluskan.
Setiap motosikal akan didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta layak untuk perlindungan insurans.
Buat masa ini, tiada cukai jalan dikenakan untuk kenderaan elektrik dua roda, menjadikan kos pemilikan lebih berbaloi.
Kos keseluruhan untuk pendaftaran nombor plat dan insurans pula dianggarkan sekitar RM2,054.
Sebagai selebriti kedua selepas Farid Kamil yang bekerjasama dengan GGR Motor, Johan membuktikan bahawa bintang hiburan juga mampu menjadi ikon perubahan sosial.
Bagi Johan, ini bukan sekadar perniagaan tetapi satu bentuk dakwah gaya moden untuk mengajak masyarakat beralih kepada gaya hidup hijau.
“Saya percaya masa depan industri automotif akan lebih lestari. Ini bukan tentang trend semata-mata tetapi ini tentang tanggungjawab,” katanya penuh makna.
Pembukaan GGR x Johan bukan sahaja menandakan kejayaan peribadi Johan, tetapi juga satu langkah ke hadapan buat industri automotif hijau Malaysia.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

