Bekas pemilik syarikat mengaku tak bersalah tipu subsidi upah Perkeso lebih RM88,000

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SEORANG bekas pemilik syarikat elektronik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan program subsidi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah lebih RM88,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Asyraf Rizal, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Asyraf didakwa dengan curangnya telah menggunakan dokumen Borang Permohonan Program Subsidi Upah yang palsu, atas nama syarikat Maar Engineering Services bertarikh 16 Jun 2020 berjumlah RM88, 200.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Insurans Pekerjaan, Perkeso di Putrajaya pada 16 Jun 2020.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli menawarkan jumlah jaminan ke atas tertuduh sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin warganegara.

Rais Adha turut mencadangkan agar tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM di Johor Bahru sekali setiap bulan sebagai syarat tambahan jaminan.

Bagaimanapun peguam Siti Nabila Hamzah memohon agar mahkamah mempertimbangkan untuk merendahkan jumlah jaminan tersebut memandangkan faktor kewangan tertuduh.

“Tertuduh kini bekerja sebagai seorang juruteknik di Singapura. Bapa beliau tidak bekerja sejak pandemik Covid-19. Justeru penanggung keluarga adalah tertuduh dan ibunya.

“Tertuduh turut menjaga datuk dan neneknya. Tertuduh juga perlu membiayai kos rawatan neneknya yang menghidapi kanser paru-paru tahap empat.

“Mohon jasa baik mahkamah untuk menetapkan jumlah jaminan pada kadar RM5,000 sahaja mempertimbangkan situasi kewangan keluarga tertuduh,” ujarnya.

Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Azrul membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain bersetuju untuk mengenakan syarat tambahan seoertimana yang dimohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua anggota MALBATT cedera akibat serangan udara di Lubnan

DUA anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang mereka sertai terkena kesan sampingan daripada satu...

More Articles Like This