Selepas meraih pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pusat tuisyen yang paling ramai melahirkan pelajar yang menerima ‘straight A’, Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI sekali lagi melakar kejayaan apabila mencatat peningkatan membabitkan pelajar yang mendapat semua A dalam SPM 2023 iaitu seramai 243 orang.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau mesra disapa sebagai Cikgu Fana berkata, peningkatan itu hampir kepada 100 peratus daripada pelajar SPM 2022 iaitu seramai 123 orang.

“Syukur jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam SPM 2023 meningkat berganda pada tahun ini. Untuk statistik, pelajar yang menerima ‘straight A’ pada tahun ini adalah seramai 243 pelajar di bawah PTTI berbanding tahun lalu iaitu seramai 123 pelajar. Maksudnya peningkatan sebanyak 98 peratus,” katanya pada Majlis Anugerah Inpirasi PTTI 2024 yang diadakan di Hotel Le Meridien Putrajaya.
Dalam pada itu, pihak PTTI turut meraikan kejayaan seramai 564 pelajar berdasarkan lima kategori yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, untuk Majlis Inspirasi SPM PTTI, kami memberi anugerah kepada 564 pelajar dalam lima kategori. Kategori pertama adalah pelajar yang menerima ‘straight A’, kedua bagi pelajar yang mendapat semua A kecuali satu subjek.

“Kategori ketiga pula untuk pelajar yang mendapat 6A dan ke atas, keempat kami bagi kepada pelajar yang ada peningkatan daripada gagal ke A dalam mana-mana subjek dan kelima bagi pelajar yang ada peningkatan drastik dalam mana-mana subjek diambil untuk SPM,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah duta dan ikon PTTI iaitu penyanyi Iman Troye dan MK K-Clique. Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan barisan artis terkenal tanah air seperti Nabila Razali, Bella Astillah, Zaki Yamani, Alyssa Dezek.

