PENYANYI popular Lan Solo menjalani pembedahan buasir buat kali kedua di sebuah pusat perubatan di Puchong, Selangor selepas badannya mengalami rasa sakit dan tidak selesa sejak beberapa hari lalu.
Menurut isteri Lan iaitu Nur Sheila Hassim, doktor telah mengesahkan bahawa vokalis kumpulan Kristal X itu menghidap buasir tahap empat dan perlu membuang tiga buasir tersebut berkenaan.
“Sebenarnya, ini pembedahan ‘haemorrhoid’ kedua Lan…kali pertama sekitar tahun 2017. Tapi kali ini doktor buang tiga sekali gus selepas bengkak,” katanya memetik laporan mStar.
Sheila turut mengakui sebelum ini mereka ada mendapatkan rawatan awal di klinik tetapi akhirnya terpaksa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kami sudah ke klinik untuk dapatkan rawatan tapi tidak menjadi membuatkan kami terpaksa ke hospital untuk dapatkan rawatan lanjut.
“Balik dari program semalam dia nampak macam nak demam sebab dia pun sudah rasa macam buasir itu keluar.
“Biasanya boleh tolak balik tapi kali ini lebih teruk. Sudah cuba pelbagai cara yang selalu buat pun tidak menjadi juga,” ujarnya.
Menurut Sheila, kurang rehat dan tekanan yang tinggi menjadi faktor utama suaminya menghidap penyakit tersebut.
Walau bagaimanapun, Lan menunjukkan semangat untuk kembali bekerja seperti biasa selepas menjalani pembedahan ini.
“Lan mungkin akan berehat di hospital sehingga Rabu dan akan bertemu peminatnya di Sabah pada Sabtu ini,” tuturnya.
Terdahulu, Sheila ada berkongsi foto Lan atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof,39, di media sosial yang sedang baring di bilik wad selepas selesai menjalani pembedahan di hospital.

