MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa representasi dikemukakan oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli perniagaan yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ bagi mengkaji semula dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM640,000 telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Rasuah berkenaan adalah agar anak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak direman oleh SPRM.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan di hadapan Hakim Suzana Hussin bahawa representasi yang dikemukakan kedua-dua tertuduh Mohd Rasyidi Mohd Said, 44, dan Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir, 55, pada 1 Julai lepas telah ditolak AGC semalam.
“Hari ini ditetapkan untuk keputusan representasi dan representasi itu telah ditolak,” kata Farah Ezlin semasa sebutan kes itu.
Pada prosiding itu, Mohd Rasyidi dan Datuk Roy masing-masing diwakili peguam Ariff Azami Hussein.
Hakim Suzana kemudian mengekalkan tarikh perbicaraan pada 8 dan 9 Ogos yang telah ditetapkan sebelum ini.
Pada 25 Mei tahun lalu, Mohd Rasyidi dan Mohd Hussein didakwa bersama-sama secara rasuah meminta untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain suatu suapan wang tunai berjumlah RM400,000 daripada Siti Dalena Berhan, 47, sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin semasa siasatan pihak SPRM.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur, antara 9 dan 11 malam, 5 Mac tahun lalu.
Mereka juga didakwa menerima suapan untuk diri mereka atau bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai berjumlah RM240,000 daripada Syed Farid Syed Al Attas, 41, sebagai dorongan untuk tidak menahan reman individu sama semasa siasatan pihak SPRM di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, antara jam 2 dan 4 petang, 6 Mac tahun lepas.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mohd Hussien turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan meminta rasuah wang berjumlah RM2 juta untuk dirinya daripada Siti Dalena dan Syed Farid.
Ia sebagai dorongan untuk menukarkan pertuduhan yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan yang dihadapi oleh ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Melayu Kepong, di sini, pada Februari 2023 dan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

