PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menyokong penuh usaha untuk menggubal satu akta sumbangan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam penerimaan serta perbelanjaan sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
MCW dalam hantaran di Facebook memaklumkan, akta sumbangan tersebut boleh menjadi satu mekanisme penting untuk mengawal selia aktiviti sumbangan yang dijalankan NGO berkenaan.
Pada masa sama, katanya, penggubalan akta tersebut juga dapat memastikan dana yang diterima digunakan dengan cara yang betul dan beretika serta mengurangkan risiko penyelewengan dan penyalahgunaan.
Menurut MCW, langkah tersebut dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap NGO yang benar-benar ikhlas.
Selain itu, undang-undang berkenaan juga memberikan garis panduan yang jelas kepada NGO dalam pengurusan dana.
Jelasnya, ia juga memastikan penderma mengetahui bagaimana sumbangan mereka digunakan dan membantu pihak berkuasa mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap NGO yang terlibat dalam aktiviti manipulasi.
“MCW amat memandang serius kegiatan berselindung di sebalik NGO dan aktiviti derma atau kemanusiaan untuk memanipulasi orang ramai bagi tujuan tersendiri.
“Menyalahgunakan platform NGo dan aktiviti derma untuk tujuan peribadi bukan sahaja mencemarkan nama baik organisasi tersebut tetapi juga merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap usaha kemanusiaan yang ikhlas.
“Aktiviti seperti ini menimbulkan kesan negatif yang meluas di mana penderma mungkin hilang kepercayaan untuk memberi sumbangan pada masa hadapan dan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan akan terkesan.
“Kami di MCW percaya bahawa integriti dan ketelusan adalah asas kepada operasi mana-mana NGo yang berwibawa,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Selangor perkukuh sektor semikonduktor dengan kerjasama SIDEC-Weeroc
Mengulas lanjut, MCW juga percaya bahawa kawalan yang lebih ketat dan perundangan yang jelas dapat membentuk ekosistem yang lebih telus serta berwibawa dalam sektor NGO dan aktiviti kemanusiaan di Malaysia.
MCW berkata, kerajaan boleh menjadikan beberapa akta sedia ada sebagai rujukan dan asas sekiranya bercadang menggubal satu akta baharu yang khusus memantau sumbangan dana oleh NGO.
Antara undang-undang sedia ada itu, menurut MCW termasuk Akta Pertubuhan 1966 atau Akta 335; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA) atau akta sama yang terkini; Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2001.
“Menggabungkan elemen-elemen daripada akta-akta ini dapat membantu membentuk satu rang undang-undang yang komprehensif dan efektif bagi mengawal selia sumbangan dana oleh NGO.
“Dengan adanya akta baharu yang kukuh, kita dapat memastikan NGO beroperasi dengan lebih telus dan bertanggungjawab sekali gus meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap usaha kemanusiaan,” katanya.
Isnin lalu, kerajaan dilaporkan sedang melaksanakan kewajaran untuk menggubal Akta Khairat (Charities Act) dan penubuhan Suruhanjaya Khairat (Charities Commission) yang akan membantu membendung isu penyalahgunaan dana sumbangan individu atau syarikat kepada organisasi kebajikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian kewajaran itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet sebagai langkah penambahbaikan terhadap Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dan Akta Pemegang Amanah 1949 yang memerlukan pindaan mendesak agar bersesuaian dengan keperluan semasa.
Menurutnya, kajian itu sudah dimulakan pada 6 Mei lalu dan dijangka selesai pada pertengahan September ini dengan merujuk kepada model Akta Khairat di beberapa negara luar dalam membantu Malaysia menubuhkan akta yang sama.
Undang-undang itu ialah Charities Act 2011 di United Kingdom, Charities Act 1994 (Singapura), Charities Act 2005 (New Zealand) serta Australian Charities and Not-for-profits Commission Act2012 serta Charities Act 2013 (Australia).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

