Pendakwah bebas direman disyaki seleweng dana NGO kira-kira RM12.3 juta

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan telah menahan reman seorang pendakwah bebas kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Perintah reman selama lima hari sehingga 26 April ini terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pengerusi NGO tersebut disyaki melakukan perbuatan tersebut pada September 2022 hingga kini.

“Suspek dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa yang lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lapan lagi syarikat yang juga miliknya,” katanya.

Tambah sumber, susulan siasatan tersebut, SPRM Negeri Sembilan telah membekukan 15 akaun yang terdiri daripada tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.

Selain itu, turut disita ialah wang tunai yang terdiri daripada RM6,576; mata wang asing Riyal 95,568; Singapore Dollar SGD 795; tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM5,000; tiga unit beg tangan berjumlah kira-kira RM3,000; lima unit gelang tangan berjumlah kira-kira RM26,000; sebentuk cincin berjumlah kira-kira RM2,000; satu unit rantai berjumlah kira-kira RM7,000; dan 51 keping emas seberat 1 gram berjumlah kira-kira RM31,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Abdul Hadi umum beberapa perkara penting esok, Pas buat keputusan Rabu

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan beberapa perkara penting ketika merasmikan Konvensyen RESET Malaysia yang akan...

More Articles Like This