SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM4 juta dipercayai milik seorang pendakwah bebas susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.
Menurut sumber, sitaan yang dilakukan hari ini termasuklah pelbagai mata wang asing dan tempatan yang berjumlah wang tunai Riyal 7,325; RM152,155 serta SGD27,134 (dolar Singapura).
“Hari ini SPRM Negeri Sembilan telah melakukan sitaan terbaharu dan selain ada pertambahan sitaan untuk duit mata wang asing dan tempatan, kami turut menyita pelbagai perhiasan emas bernilai kira-kira RM2 juta.
“Sehubungan itu nilai sitaan terbaharu semalam dan hari ini berjumlah kira-kira RM4 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut sumber, siasatan awal juga mendapati dua ahli jawatan kuasa yang disyaki bersubahat dengan pendakwah bebas tersebut merupakan isterinya yang juga bendahari NGO tersebut dan seorang lagi adalah setiausaha.
Tambah sumber, siasatan turut mendapati duit dipercayai dipindahkan ke akaun bank milik pendakwah bebas itu dan juga ke lapan akaun bank syarikat yang juga milik individu itu dilakukan tanpa pengetahuan ahli jawatankuasa lain.
Semalam, SPRM Negeri Sembilan telah menahan reman seorang pendakwah bebas selama lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO ditempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, lapan syarikat yang terlibat merupakan syarikat-syarikat yang terdiri daripada syarikat percetakan, penerbitan, jualan buku, pemasaran, penjualan produk, pengurusan sumber manusia dan pengurusan duta produk.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

