MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan salah seorang pengawal peribadinya di Tehran, Iran, hari ini.
Wisma Putra (Kementerian Luar) dalam kenyataan turut mengucapkan takziah dan menzahirkan simpati kepada ahli keluarga serta barisan kepimpinan dan rakyat Palestin atas pemergian Haniyeh.
Menurut Wisma Putra, Malaysia tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan termasuk pembunuhan yang disasarkan.
Pada masa sama, kementerian itu turut menggesa semua negara yang mencintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan tersebut.
“Insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan memperkukuhkan keperluan semua pihak untuk terlibat dalam dialog konstruktif dan mencari penyelesaian damai.
“Malaysia menggesa siasatan segera dan menyeluruh terhadap pembunuhan ini dan mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan.
“Malaysia juga menggesa semua pihak untuk bersikap tenang sementara fakta-fakta mengenai pembunuhan ini sedang dikenalpasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Wisma Putra memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul turut berada di Tehran, Iran sebagai wakil malaysia ke majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Katanya, semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat.
Wisma Putra turut menegaskan, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmennya untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan serta penentuan nasib sendiri.
“Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Haniyeh dalam usaha membebaskan Palestin serta rakyatnya daripada penjajahan haram Israel,” katanya.
Terdahulu, Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam satu serangan di Tehran, Iran.
Memetik kenyataan kumpulan pejuang Palestin itu, Haniyeh dikatakan terbunuh dalam ‘serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran’.
Susulan itu, Hamas mengumumkan berkabung atas kematian Haniyeh.
Haniyeh dikatakan berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, semalam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

