SEMUA masjid di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menunaikan solat jenazah ghaib untuk pemimpin utama Hamas, Ismail Haniyeh yang dilaporkan terbunuh dalam satu serangan di Tehran, Iran.Â
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar seperti dilaporkan Sinar Harian Online, hari ini.
Menurut Mohd Na’im, beliau telah mengeluarkan arahan kepada Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail mengenai solat jenazah ghaib itu.
Beliau yang berada di Kaherah, Mesir ketika ini berkata akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
“Saya kini berada di Kaherah dan arahan telah dibuat.
“Kita dapatkan maklumat dulu. Jika dah dimandikan, saya minta semua masjid di bawah Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat ghaib,” katanya.
Terdahulu, Ismail Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam satu serangan di Tehran, Iran.
Menurut laporan Reuters yang memetik kenyataan kumpulan pejuang Palestin itu, Haniyeh dikatakan terbunuh dalam ‘serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran’.
Susulan itu, Hamas mengumumkan berkabung atas kematian Haniyeh.
Haniyeh dikatakan berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, semalam.
Pada 25 Jun lalu, sekurang-kurangnya 10 ahli keluarga Haniyeh termasuk kakaknya terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di barat Bandaraya Gaza.
Sebelum itu, Haniyeh kehilangan tiga anak lelakinya dalam serangan udara Israel ke atas kereta mereka di kem Beach pada 10 April.
Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Hamas dipilih semula memegang jawatan Ketua Politik parti itu pada tahun 2021.
Beliau merupakan orang kanan kepada pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin yang dibunuh pada 2004.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

