META Platforms Inc (Meta) membuat permohonan maaf susulan penurunan hantaran di platform Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri berhubung ucapan takziah serta penghormatan terhadap Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh, 31 Julai lalu.
Meta turut menyifatkan penurunan hantaran tersebut adalah atas ‘kesilapan operasi’.
Syarikat itu menjelaskan, kandungan di platform milik Perdana Menteri itu telah dikembalikan semula.
“Kami memohon maaf atas kesilapan operasi di mana kandungan daripada halaman Facebook dan Instagram Perdana Menteri telah diturunkan.
“Kandungan itu telah dikembalikan semula dengan label yang betul,” kata jurucakap meta seperti dilaporkan Reuters.
Bagaimanapun, permohonan maaf Meta itu dibuat secara ringkas susulan persoalan diutarakan media antarabangsa berkenaan melalui e-mel tanpa memperincikan sebab kandungan ucapan takziah Perdana Menteri itu diturunkan.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyifatkan tindakan Meta menurunkan beberapa hantaran di platform Facebook dan Instagram milik Perdana Menteri, baru-baru ini sebagai satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan.
Ia berhubung hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh, 31 Julai lalu.
Baca artikel lain: Penurunan hantaran: Tindakan satu bentuk diskriminasi, PMO tuntut Meta buat permohonan maaf terbuka
Perkara itu dinyatakan dalam pertemuan dengan wakil Meta Platforms Inc yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO dalam kenyataan telah menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan beberapa hantaran bertarikh 14 Mei dan 30 Julai lalu itu.
Menurut PMO, ia juga adalah penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia.
Sehubungan itu, PMO telah menuntut beberapa perkara dilakukan Meta termasuk penjelasan terperinci berhubung tindakan yang diambil dan permohonan maaf secara terbuka.
Semakan di akaun Instagram Perdana Menteri mendapati tiga hantaran beliau pada 31 Julai lepas yang mengutuk pembunuhan Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.
Penurunan hantaran itu disertakan dengan kapsyen “Dangerous individuals and organisations”.
Ia menyebabkan Pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan Meta berkenaan, manakala Anwar pada 1 Ogos pula memberi peringatan terhadap pihak Meta supaya tidak menjadi perkakas rejim Zionis.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

