POTONG minyak masak paket satu kilogram (kg) dan dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga minyak masak bersubsidi.
Itu taktik sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Ops Tiris 3.0 baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket tersebut dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nama di Jeram, Selangor pada 6 Ogos lalu.
Menurut Azman, hasil maklumat awal yang diperolehi, sindiket tersebut disyaki membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi dan dikumpulkan di stor haram berkenaan yang yang beroperasi tanpa lesen sah untuk menyimpan barang kawalan.
Katanya, minyak masak paket 1kg berkenaan seterusnya akan dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki silinder serta dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga minyak masak bukan bersubsidi.
“Kita juga menemukan sebuah lori yang mengandungi muatan minyak masak paket 1kg, sebuah tangki silinder yang mengandungi hampir 4,000kg minyak masak selain 128 bungkusan plastik minyak masak paket 1kg pelbagai jenama yang telah dipotong pembungkusnya.
“Kesemua minyak masak paket 1kg bersubsidi dianggarkan hampir 10,015kg serta beberapa peralatan yang digunakan seperti gunting, pam penyedut minyak, hos getah dan beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM64,567.50,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 50 an yang dipercayai pemandu lori di situ bagi membantu siasatan.
Katanya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti berkenaan serta rantaian pengedaran minyak masak tersebut.
Menurut Azman, premis terbabit juga telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dan menjual secara borong atau runcit apa-apa barang kawalan berjadual tanpa lesen.
Beliau menegaskan, KPDN memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Azman menambah, syarikat berkenaan juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

