PADA 1 Ogos lalu di Kok po Pattani, 3 anggota puak pemisah terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Thailand di kawasan hutan Kok Po Pattani selepas usaha memujuk mereka menyerah diri gagal.
Proses memujuk bukan sahaja dilakukan oleh pasukan keselamatan tetapi juga tokoh-tokoh agama setempat, tetapi semuanya gagal. Malang sekali yang terbujur kaku itu ialah anak-anak muda yang dihasut oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Kesemua mereka mempunyai rekod lampau iaitu membunuh, mencuri dan melancarkan keganasan di Selatan Thailand. Namun mereka sudah diberi peluang untuk menyerah diri dan akan diadili mengikut proses undang-undang. Tetapi dokrin yang ‘ditanam’ oleh BRN kepada anak-anak muda itu terlalu kuat sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa dan seterusnya diuar-uarkan oleh BRN sebagai gugurnya ‘burung bangsa’!
Bagi penulis, anak-anak muda yang terbunuh tidak boleh dipersalahkan sebaliknya yang harus bertanggungjawab ialah BRN yang kononnya mahu memperjuangkan nasib umat Islam di Selatan Thailand.
Mereka memperalatkan anak muda yang bermasalah untuk menyertai perjuangan songsang menuntut kemerdekaan dengan ‘fakta sesat’ bahawa dosa mereka akan diampuni jika mati syahid menentang pemerintah Thailand. Apa yang mereka uar-uarkan itu bukan fisabillillah tetapi pengkhianatan.
BRN khianat kepada pemerintah Thailand yang bersedia berunding dengan mereka, BRN khianat kepada umat Islam Selatan Thailand yang mahu hidup aman damai dan BRN khianat kepada agama Islam apabila mentafsirkan istilah syahid dan jihad mengikut agenda perjuangan sempit mereka.
Kajian oleh pertubuhan bukan kerajaan di Thailand mendapati sejak 2004 kira-kira 5 peratus daripada 3 juta penduduk di Selatan Thailand terpengaruh dengan propaganda BRN untuk menentang pemerintah negara itu atas alasan membebaskan wilayah tersebut daripada penjajahan.
Tetapi anehnya, ketika BRN menghasut penduduk wilayah tersebut menentang pemerintah Thailand kononnya bagi mendapat kemerdekaan pemimpin BRN sendiri ‘sedap-sedap’ hidup senang lenang di luar negara dengan menjadikan konflik di Selatan Thailand sebagai modal.
Mereka juga menjadikan meja rundingan dengan pemerintah Thailand yang Malaysia menjadi fasilitatornya sebagai platform untuk mendapat layanan Istimewa tetapi di tanah air mereka sendiri, penduduk Islam dijadikan ‘burung korban’ oleh pemimpin BRN menentang pasukan keselamatan.
Hakikatnya, perjuangan BRN menuntut kemerdekaan adalah sia-sia tetapi BRN tidak berperikemanusiaan kerana menjadi anak-anak muda sebagai ‘alat’ untuk perjuangan yang mereka sendiri tahu ia tidak akan tercapai – mungkin hingga kiamat. Sepatutnya, BRN menjadikan anak-anak muda itu sebagai modal untuk berunding dengan Pemerintah Thailand bagi memajukan Selatan Thailand dari segi ekonomi dan sosial.
Tambahan pula Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin mengarahkan supaya modul sekolah pondok ditambah dengan subjek Sains dan Matematik supaya anak-anak muda Selatan Thailand dapat memenuhi kriteria dalam kerjaya seiring dengan pembangunan di wilayah itu.
Selain itu ia juga bertujuan membolehkan anak-anak muda mempunyai daya asing bagi sama-sama membangunkan negara dengan mengenepikan keganasan yang tidak memberi apa-apa keuntungan kepada mana-mana pihak.
Almarhum Dr.Yusuf Qardawi pernah berkata,;
“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.”
Pemimpin BRN ‘buta mata hati’ untuk memahami pesanan Ulama terkemuka dunia itu kerana mereka berjuang bukan untuk agama Islam, mereka berjuang bukan untuk umat Islam tetapi mereka berjuang untuk kepentingan peribadi dengan memperalatkan Islam melalui propaganda jihad fisabilillah.

Atas sebab itulah, mereka sanggup melakukan apa sahaja dengan menghasut anak muda sekaligus meletakkan harapan untuk mencipta perdamaian di Selatan Thailand semakin tidak menentu. Keadaan itu berlaku bukan kerana pemerintah Thailand ‘menjajah’ wilayah itu, bukan disebabkan Malaysia gagal sebagai fasilitator tetapi disebabkan tindakan keganasan oleh BRN.
Malang sekali ia berlaku ketika pemerintah Thailand dan kerajaan Malaysia begitu komited untuk membangunkan dan memajukan wilayah Selatan Thailand. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya, Srettha Thavisin sudah beberapa kali bertemu bagi tujuan itu.
Terbaru kedua-dua pemimpin bertemu di Rantau Panjang- Sungai Golok pada 3 Ogos lalu iaitu 48 jam selepas serangan di Kok Po, Pattani tercetus. Pertemuan itu bertujuan memperkukuhkan lagi usaha untuk Selatan Thailand mencapai kedamaian dan kemakmuran, tetapi BRN dengki dan tidak mahu keadaan tersebut sebab itu mereka tergamak mencetuskan kekacauan yang dikhabarnya berterusan sehingga hari ini.
Keadaan itu membuktikan BRN sama sekali tidak Ikhlas dan hanya bersandiwara memperjuangkan nasib umat Islam di Selatan Thailand, kalau tidak sudah pasti mereka memahami betapa telusnya pemerintah Thailand dan Kerajaan Malaysia mahu membantu rakyat wilayah berkenaan.
Selain mengulangi pendirian bahawa kerajaan Malaysia mahu membantu menyegerakan Proses Dialog Damai di Selatan Thailand, Anwar juga memberi jaminan Malaysia akan memberi komitmen apa sahaja yang diperlukan Thailand sama ada dari segi ekonomi, keselamatan dan pendidikan.
Oleh itu jika BRN Ikhlas berjuang demi umat Islam Selatan Thailand, mahu mendaulatkan Islam di wilayah itu, mahu memajukan wilayah tersebut, mereka perlu berhentikan propaganda ‘pemerintah Thailand penjajah dan menuntut kemerdekaan’. Semua itu adalah kerja sia-sia.
BRN juga perlu menghentikan perbuatan merekrut anak-anak muda bermasalah untuk dijadikan anggota BRN kerana ia hanya akan menyebabkan mereka (anak muda) ‘mati katak’ sedangkan mereka seharusnya diberikan peluang kedua untuk mengubah hala tuju kehidupan mereka.
Bagaimanapun penulis tidak yakin BRN akan berubah dan tidak mungkin berubah biarpun beratus kali rundingan damai diadakan . Ia kerana mereka tidak Ikhlas berjuang untuk kesejahteraan penduduk Islam sebaliknya memperalatkan golongan itu untuk menikmati kesenangan hidup di luar negara.
Sedangkan di tanah air sendiri yang sudah bertahun-tahun mereka tinggalkan, penduduk Islam diancam dengan ketakutan dan konflik, bukan angkara pemerintah Thailand tetapi oleh BRN yang kononnya berjuang untuk penduduk tersebut. Sandiwara ini pasti berterusan.
Penduduk Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan dakyah dan sandiwara BRN. Masa depan mereka tidak mampu dibentuk oleh BRN sebaliknya masa depan mereka boleh dirancang, dibentuk dan dicapai melalui kerjasama bersama pemerintah Thailand dengan disokong oleh komitmen Malaysia sebagai negara jiran yang sentiasa sensitif dengan nasib umat Islam di mana-mana juga.

