ANALISIS
PADA 7 Ogos lalu, apabila ditanya oleh wartawan, bilakah Barisan Nasional(BN) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, ia akan diumumkan dalam terdekat.
Beliau berkata, antara perkara yang akan ditekankan dalam manifesto tersebut adalah dari sudut modal insan, ekonomi tempatan dan perumahan generasi muda.
“Saya sudah ada draf manifesto, saya perlu menunggu dua atau tiga perkara lagi untuk dimasukkan,” katanya ketika ditemui Bernama di Ladang Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC) Sungai Terah.
Sehari selepas itu, Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, manifesto BN belum dimuktamad dan akan diumum pada masa yang sesuai.
“Saya sendiri sudah bercakap dengan calon mengenai manifesto ini dan beliau memahami. Kita menunggu masa yang sesuai sebab kalau terlalu awal, nanti belah sana akan tiru segala apa yang kita nak buat,” katanya secara berseloroh di Nenggiri.
Berdasarkan kedua-dua kenyataan itu, ia membayangkan BN sudah merangka manifesto untuk penduduk Nenggiri, bagaimanapun semalam, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob berkata:
“Bagi kita untuk PRK kali ini, kita tidak akan keluarkan manifesto, kita hanya ada satu manifesto…wakil rakyat kita sekiranya diberikan mandat oleh rakyat akan berkhidmat dan menyelami permasalahan rakyat Nenggiri. Yang penting kita berkhidmat kepada rakyat, apa guna melancarkan dan buat manifesto kalau manifesto Pilihan Raya Umum 1990 tidak selesai sampai hari ini.
‘’Inilah pemimpin UMNO, 34 tahun di negeri Kelantan…UMNO yang membangunkan Kelantan bukan kerajaan negeri Pas, contohnya Projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR), dia (PAS) janji dalam manifesto nak buat lebuh raya rakyat, akhirnya siapa yang menyempurnakan dan melengkapkan? Kerajaan Pusat,” katanya yang merujuk kepada manifesto oleh Pas pada sidang media hari ini.
Penulis tidak pasti apa yang mendorong BN tidak mahu membuat manifesto di Nenggiri, mungkin ia taktikal terbaru BN untuk melakukan kejutan, maklumlah sejak Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menjadi Pengerusi BN dan Presiden UMNO banyak ‘kejutan’ dilakukan.
Tetapi apa yang pasti, manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk Calonnya, Mohd Rizwadi Ismail yang bertemakan ‘KHIDMAT’ dikatakan menarik perhatian penduduk Nenggiri kerana menjanjikan perkara yang boleh ditunaikan.
‘’ Apa yang ditawarkan bukan bulan bintang tetapi bersesuaian dengan keperluan penduduk Nenggiri termasuk Orang Asli,’’ kata sumber yang berkampung di Nenggiri sepanjang PRK itu.
Dengan menggunakan akronim K.H.I.D.M.A.T, Mohd Rizwadi menawarkan, Khidmat Masyarakat, Hak Rakyat, Integriti dan Amanah, Daya Ekonomi dan Infrastruktur, Masyarakat Berilmu, Bernilai murni dan sejahtera, Anak muda berpendidikan, berilmu dan transformasi digital luar bandar.

Kalau kita membelek manifesto K.H.I.D.M.A.T, mengandungi tawaran kepada semua golongan penduduk Nenggiri termasuklah untuk masyarakat Orang Asli, anak muda, wanita, warga emas dan usahawan. Paling menarik perhatian, apabila Perikatan Nasional berjanji akan melantik seorang Pegawai Pusat Khidmat Rakyat dalam kalangan Orang Asli.
Manifesto itu juga memberi peluang kepada penduduk Nenggiri menilai apa yang ditawarkan oleh PN, bagaimanapun BN mempunyai ‘taktikal’ lebih hebat apabila berkata, mereka mempunyai satu sahaja manifesto seperti mana kata Ahmd Jazlan iaitu ‘’ wakil rakyat kita sekiranya diberikan mandat oleh rakyat akan berkhidmat dan menyelami permasalahan rakyat Nenggiri.’’
Kalaupun Ahmad Jazlan tidak berkata begitu, semua orang tahu kerja wakil rakyat ialah berkhidmat dan menyelesaikan masalah rakyat sebab itulah manifesto dibentangkan bagi membolehkan rakyat menilai tawaran siapa lebih baik.
Ada yang bertanya, adakah langkah BN ini disebabkan mereka sudah berasa selesa dan boleh menang kerana yakin ada ‘deposit tetap’? Bagaimanapun sumber memberitahu penulis,keputusan BN itu mengejutkan.
Ia kerana menurut sumber tersebut, ketika tempoh kempen tinggal beberapa hari lagi, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh BN untuk menang termasuk dari segi kandungan ucapan pemimpin-pemimpin utamanya.
‘’Tetapi setakat ini, tidak ada komitmen ke arah itu, paling malang dengan keputusan BN itu ia seolah-olah membayangkan calon muda tidak diyakini BN untuk melakukan terbaik untuk Nenggiri?,’’ kata sumber.
Oleh itu apabila Ahmad Jazlan memberi alasan BN tidak mahu berjanji yang kemudiannya tidak ditunaikan serta menyindir Kerajaan Negeri Pas dengan mendakwa banyak janji Pas pada tahun 1990 tidak diselesaikan, ia dianggap politik tidak bijak sama seperti mana pemimpin UMNO bercakap mengenai kenapa Tan Sri Annuar Musa dipecat oleh parti itu ketika majlis mesra dengan penduduk Nenggiri baru-baru ini.
Kalau Ahmad Jazlan mahu bercakap soal janji yang tidak ditunaikan oleh Kerajaan Pas, rasanya orang juga boleh persoalkan, Parlimen Gua Musang, DUN Nenggiri, Galas dan Paloh berada di bawah BN berpuluh-puluh tahun kenapa masih ada masalah rakyat di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat tidak diselesaikan ketika BN memerintah dulu?
Sebab itulah, terpulanglah kepada BN sama ada mahu mengeluarkan manifesto atau tidak. Kalau BN serahkan kepada kematangan pengundi membuat keputusan, mereka juga perlu terbuka dan tidak berusaha gigih memburukkan PN dan Kerajaan Pas, biarlah kematangan pengundi menilainya. – Bukan apa..takut orang kata BN seolah-olah sudah tahu ‘mimpi ngeri’ yang menanti di Nenggiri.

