KAKAK sulung kepada penyanyi Allahyarham Nidza Afham iaitu Irfahanie kesal dengan sikap segelintir individu yang tidak sensitif dengan menjadikan kematian adiknya itu sebagai bahan gurauan.
Menurut Irfa, pemergian adiknya yang ditemui lemas di Sungai Klang sepatutnya tidak dijadikan jenaka sedangkan mereka sekeluarga masih lagi bersedih.
“Awak rasa okay ke tanya fasal benda macam ini? Tak faham juga manusia ni rasa benda macam ni boleh gurau.
“Janganlah! Saya nak cakap banya pun tak larat dan tak faham niat orang.
“Tapi saya minta tolong jangan buat,” katanya.
Irfa berkongsi perasaannya itu menerusi hantaran di Instagram Story.

Dalam hantaran sama, Irfa turut memuat naik tangkap layar perbualan menerusi WhatsApp bersama individu yang bertanyakan mengenai minyak wangi.
Menerusi perbualan tersebut, individu terbabit bertanyakan miyak wangi jenama Nidza Afham.
Kongsi Irfa lagi, bisnes minyak wangi yang diusahakan itu merupakan sumber pendapatan utamanya untuk menampung perbelanjaan keluarga.
“Saya meniaga dari dulu bukan suka-suka. Ini memang perniagaan saya cari rezeki untuk anak-anak dan keluarga.
“Malah, Afham pun pernah kerja dengan saya beberapa bulan sebelum ini,” ujarnya.

Terdahulu, kehilangan Nidza dikongsi oleh adik perempuannya yang juga penyanyi Aufahanie.
Bagaimanapun, Nidza ditemui lemas di Sungai Klang sekitar pukul 7 malam kurang 24 jam dilaporkan hilang.

