KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengambil inisatif untuk menambahbaik Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang akan diwartakan pada September 2024.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penambahbaikan itu akan memberi perlindungan yang lebih baik kepada pengguna penerbangan.
Jelas beliau, antara penambahbaikan yang dilakukan adalah syarikat penerbangan kini dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik dalam cara pembayaran asal bagi kelewatan penerbangan selama lima jam dan lebih.
Katanya, ia adalah pilihan baharu untuk pengguna yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka.
“Selain itu, untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal.
“Syarikat penerbangan juga boleh menawarkan mod bayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau credit shell.
“Walau bagaimanapun, pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka kehendaki,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Selain itu, Loke menambah, turut diwartakan adalah bayaran balik mandatori surcaj bahan api, cukai, fi dan caj seperti levi pelepasan, Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), fi karbon dan lain-lain.
Katanya, ia terpakai untuk tiket yang mempunyai nilai bayaran balik dan tiket yang tidak mempunyai nilai bayaran balik bagi penerbangan yang tidak diambil oleh pengguna.
Di samping itu, kata Loke, semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem penempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam talian dan luar talian.
Katanya, ia adalah untuk melindungi pengguna supaya tidak membeli tiket penerbangan yang telah dibatalkan.
“Turut diwartakan adalah sebarang perubahan dalam Waktu Perlepasan yang Dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu perlepasan sebenar, melainkan ia disebabkan oleh hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Peruntukan ini akan berkuat kuasa pada Januari 2025.
“Sebarang denied boarding kerana tempahan penerbangan berlebihan perlu dimaklumkan kepada pengguna di kaunter daftar masuk atau di pintu berlepas. Menafikan pengguna yang telah menaiki pesawat adalah dilarang.
“Had masa untuk pengguna mengemukakan aduan kini dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun,” katanya.
Loke menambah, kegagalan untuk mematuhi MACPC boleh dikenakan penalti kewangan maksimum sebanyak RM200,000 dan dalam kes ketidakpatuhan kedua atau seterusnya, jumlah 10 kali ganda daripada penalti kewangan pertama akan dikenakan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

