Anggota tentera darat didakwa rogol, amang seksual anak tiri berusia 12 tahun

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SEORANG anggota tentera darat didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual ke atas anak tiri perempuannya sejak tiga bulan lalu.

Tertuduh, berpangkat Koperal berusia 29 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut dua pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun, yang mana hubungan tertuduh dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, agama dan adat.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan boleh dikenakan sebatan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan memegang buah dada dan punggung remaja terbabit.

Justeru bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Hulu Langat, Selangor masing-masing sekitar 3 petang pada bulan Jun, 4 petang pada Julai dan 8 malam pada 18 Ogos 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dengan mengambil kira hubungan mangsa adalah anak tiri lelaki itu memandang masih sah sebagai suami kepada ibu remaja berkenaan.

“Bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

“Selain itu, tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, dan tidak menganggu mangsa,” katanya yang turut mengesahkan mangsa kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, Peguam Mark Jeyakumar Michael yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kesemua pertuduhan memandangkan menanggung isterinya, serta tiga lagi anaknya masing-masing berusia setahun, empat tahun, enam tahun.

“Penjamin ialah isteri tertuduh yang merupakan seorang suri rumah. Mohon jaminan yang rendah atas alasan tanpa kehadiran anak guam di rumah, agak susah untuk isterinya menjaga pembiayaan keluarga.

Selepas permohonan pihak pembelaan itu, Norfadzlin membantah untuk menjadikan isteri tertuduh sebagai penjamin kerana dia merupakan saksi pendakwaan selain tidak bekerja.

Susulan itu, Hakim Norshila membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara yang bukan saksi pendakwaan.

“Selain itu, syarat tambahan jaminan ialah tidak dibenarkan menganggu mangsa, melawat mangsa di JKM walaupun bersama ibunya, berbual atau mempengaruhi mangsa, atau menghantar pesanan atau apa-apa cara yang boleh mengganggu perbicaraan,” ujar beliau.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan kes serta serahan dokumen.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hadi sahkan pertemuan pemimpin Pas dan UMNO, beri bayangan penyatuan parti politik Melayu

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan berlaku pertemuan antara pemimpin parti itu dengan UMNO, malam tadi. Ia susulan...

More Articles Like This