MALAYSIA komited memperluaskan perkongsian keselamatannya di seluruh dunia dalam usaha mengajak lebih banyak negara tampil bekerjasama bagi menjamin keselamatan global khusus dalam menangani jenayah rentas sempadan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mendepani ancaman keselamatan moden ini, memerlukan strategi inovatif dan kolaboratif memandangkan jenayah seperti ini menjejaskan masyarakat.
“Contohnya, dalam menangani pemerdagangan manusia secara berkesan, kita mesti meningkatkan kerjasama antarabangsa melalui platform seperti ASEANAPOL untuk membangunkan dan melaksanakan strategi paling berkesan dalam memerangi isu serius ini.
“Menangani jenayah transnasional memerlukan lebih daripada usaha nasional. Ia menuntut kerjasama antarabangsa yang kukuh.
“Undang-undang agensi penguatkuasaan, selain kerajaan serta organisasi antarabangsa mesti berkongsi risikan, memperkukuh rangka kerja undang-undang dan membina kapasiti untuk menangani ancaman di sempadan ini dengan lebih berkesan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Baca artikel lain: Mayat bayi bawah lantai simen: Polis Perak mohon kerjasama JIM kesan suspek
Beliau berkata demikian berucap pada Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) berlangsung di Pusat Persidangan Bayview Haizhou di Lianyungang, Jiangsu, hari ini.
Ahmad Zahid mengetuai delegasi Malaysia untuk berkongsi serta menyampaikan pandangan negara di forum berkenaan yang turut disertai lebih 50 negara.
Turut mengiringi beliau, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kepantasan penjenayah rentas sempadan dalam mengeksploitasi teknologi moden dan laluan perdagangan global, memerlukan respon yang pantas dari semua negara.
“(Tindakan) kita mesti pantas, selaras dan bersama. Kita tidak mampu bekerja secara berasingan. Kita perlu melabur dalam teknologi canggih, meningkatkan perkongsian maklumat rentas sempadan dan membina perkongsian kukuh untuk menentang rangkaian jenayah ini,” katanya sambil menjelaskan rangkaian penjenayah ini sudah mengaut keuntungan secara haram antara AS$1.6 trilion (RM6.95 trilion) hingga AS$2.2 trilion (RM9.56 trilion) setiap tahun.
Beliau berkata, Malaysia dan China sudah menandatangani perjanjian untuk meningkatkan kerjasama dalam mencegah dan membanteras jenayah transnasional, dengan tumpuan mengukuh kerjasama dalam bidang seperti perisikan berkaitan keganasan, kawalan sempadan dan memerangi penipuan telekomunikasi, perjudian dalam talian, pengedaran dadah, penyeludupan dan pengubahan wang haram.
Katanya, kerjasama ini termasuk latihan untuk meningkatkan kapasiti penguatkuasaan undang-undang bagi memerangi keganasan, siasatan jenayah serta jenayah ekonomi.
“Kami sudah mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja untuk Rangka Kerja Keselamatan Negara bagi mengukuh rangka kerja dan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama rentas sempadan.
“Perjanjian kami dengan China dalam memerangi perjudian dalam talian dan judi haram sudah menampakkan hasil. Bilangan tangkapan warga China di Malaysia menurun daripada 1,225 pada 2020 kepada 79 pada 2023. Kerjasama dijalin termasuk perkongsian perisikan, menyelaraskan operasi penguatkuasaan dan membentuk pasukan petugas bersama untuk menangani sindiket perjudian rentas sempadan,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

