MALAYSIA akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan khusus bagi belia dari negara membangun dan negara selepas perang seperti Iraq, Afghanistan, Libya dan Timor Leste, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, perkara itu dipersetujui pada pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Prof Tetsuya Watanabe; Ketua Pakar Perdagangan di Bank Dunia, Dr Roberto Echandi serta Pengurus Praktis dan Perdagangan Global di Bank Dunia, dalam lawatan empat harinya ke Switzerland bermula Jumaat lalu.
“Ini satu pengiktirafan besar kepada negara kerana mendapat mandat untuk membangunkan pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zambry berkata, pada masa sama ia juga sebagai satu daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan akses pendidikan terbaik kepada penduduk negara berkenaan untuk mendapat pendidikan tinggi, seterusnya berbakti membangunkan negara masing-masing.
Baca artikel lain: Veterinar nafi keluarkan SKV bagi eksport produk makanan laut ke Turkiye
Beliau berkata, hasrat itu disambut baik selaras dengan fokus KPT iaitu mengantarabangsakan pendidikan tinggi.
“Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penyelaras bagi program berkaitan, dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.
Dalam lawatan ke Switzerland yang berakhir semalam, atas jemputan Institut Perdagangan Dunia (WTI) itu, Zambry menyertai beberapa perjumpaan dua hala, mengadakan perbincangan, selain menyampaikan ucaptama.
Beliau berkata, lawatan ke Switzerland membuahkan hasil dan memperkukuh lagi hubungan dua hala serta kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pembangunan bakat terbaik dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

