Pecah masuk 4 sekolah, 3 ahli Geng Tongkol didakwa

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

TIGA ahli Geng Tongkol dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan menceroboh dan memecah masuk empat buah sekolah antara 6 Ogos sehingga 16 Ogos lepas.

Ketiga-tiga mereka ialah, penyelia tempat parkir kereta, Mohammad Daniel Mohd Nadzri dan penghantar barang Saidina Abdul Hamid, masing-masing berusia 20 tahun serta penjual kek, Muhammad Syafiq Mohd Nadzri, 18 tahun.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Arunjothy M. Selvaraju atas dua pertuduhan melakukan pencerobohan jenayah dan memecah masuk dua buah sekolah di Taman Bukit Maluri, Kepong sekitar jam 2.14 pagi pada 16 Ogos 2024.

Sementara itu, di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan, tiga pemuda itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memecah masuk sebuah sekolah di Dang Wangi, pada jam 4.30 pagi pada 13 Ogos lalu.

Manakala di hadapan Amira Abd Aziz, Saidina dan Muhammad Syafiq didakwa telah memecah masuk sebuah sekolah dan telah mencuri wang tunai berjumlah RM750, pada jam 2.14 pagi pada 6 Ogos lepas.

Bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 447 kanun sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa.

Sabit kesalahan bagi pertuduhan itu, tertudu berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan memecah masuk, mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun penjara dan denda.

Jika kesalahan itu ialah mencuri, tertuduh juga boleh dihukum penjara selama 14 tahun dan denda.

Ketika prosiding, Pendakwaan di ketiga-tiga Mahkamah Majistret itu masing-masing dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Vivi ‘Asnita Zainal’arifin, Izzat Amir Idham dan Vivien Yeap Jie Xie.

Sementara itu ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam-peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Wei Meng, Simret Singh dan Nicholas Cheoh.

Tiga mahkamah itu kemudian membenarkan jaminan berjumlah RM9,300 bagi setiap tertuduh dan masing-masing menetapkan 5 dan 6 November serta 28 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Pada 5 September lepas, media melaporkan polis berjaya menumpaskan Geng Tongkol yang terlibat dalam jenayah pecah masuk sekolah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, empat lelaki tempatan berusia 18 hingga 20 tahun ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul di Batu Caves, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu.

Menurutnya, polis telah merampas empat pasang pakaian digunakan suspek semasa melakukan jenayah, telefon bimbit, lima topi keledar, wang tunai kira-kira RM1,300 serta sebuah motosikal.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sistem POS Johor tutup ruang ketirisan minyak masak subsidi

KEJAYAAN mekanisme Point of Sale (POS) di Johor dalam memperkemas rantaian pengedaran minyak masak peket bersubsidi serta mengurangkan ketirisan...

More Articles Like This