TIMBALAN PRESIDEN Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengingatkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya tidak lupa jasa Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membenarkan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan itu bertanding menggunakan lambang Pas pada tahun 2008.
Katanya, dalam era kepimpinan Abdul Hadi juga PKR menumpang kasih bekerjasama memenangi banyak kerusi pilihanraya.
‘’Bahkan kejayaan Abdul Hadi bermula dengan menafikan majoriti dua pertiga dan merampas beberapa negeri daripada kerajaan BN ketika itu. Orang yang paling bertuah merasa sendiri kemenangan dalam pilihanraya adalah Saifuddin yang menggunakan lambang Pas, parti yang dicerca oleh beliau hari ini. Dengan persetujuan Abdul Hadi, beliau diberi ruang bertanding dan memenangi parlimen Machang pada tahun 2008. Diharapkan agar Saifuddin tidak lupa jasa Abdul Hadi,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Saifuddin Nasution semalam yang menyifatkan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-70 yang berakhir pada Ahad lalu sebagai rakaman sejarah yang menjadi medan kemuncak politik kebencian serta membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang.
Tuan Ibrahim turut mengingatkan Saifuddin bagaimana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Abdul Hadi dan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk meminta supaya Saifuddin dibenarkan membantu PKR satu masa dulu.
‘’Manusia mudah lupa ini bukan sahaja tidak mengenang jasa, sebaliknya mengigit tangan mereka yang membantunya dahulu. Saya berharap agar Saifuddin tidak memadamkan fakta yang disebutkan dan memohon agar beliau tidaklah seperti yang selalu diperkatakan dalam peribahasa Melayu ‘seperti melepaskan anjing tersepit’,’’ katanya.
Beliau berkata, kenyataan Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menunjukkan ketakutan dan kegelisahan PH kepada Abdul Hadi serta Pas secara khususnya amat terserlah.
‘’Sejak penubuhan Pas, Abdul Hadi adalah sosok yang telah berjaya mengangkat Pas bersama dengan PN ke tahap tertinggi. Ia tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, termasuklah Saifuddin yang hanya berniat jahat.
‘’ Barangkali Saifuddin harus diingatkan bahawa Pas yang ber-Presidenkan Abdul Hadi adalah parti tunggal yang mempunyai wakil Ahli Parlimen (MP) terbanyak di Dewan Rakyat ketika ini. Walaupun Abdul Hadi difitnah dengan pelbagai perkara, namun Abdul Hadi berjaya membawa bersamanya 42 orang MP berbanding PKR yang mempunyai hanya 31 orang.
‘’Jika kenyataan itu juga belum memadai untuk membuka mata beliau, bilang berapa negeri yang diperintah oleh PKR berbanding PAS yang menguasai empat buah negeri. Andai benar dakwaan jahat Saifuddin, mana mungkin masih ramai rakyat yang menyokong PAS sehingga ke tahap ini, Alhamdulillah,’’ katanya.
Pas kata Tuan Ibrahim berasa sangat kesal dan berdukacita dengan kenyataan melampau serta tidak beradab Saifuddin.
‘’Hal ini kerana sepanjang Muktamar tiada satu nama pun disebut dan diserang oleh Presiden dalam ucapan beliau. Pas dalam Muktamar nya sentiasa memberi fokus kepada perkara dasar yang suatu ketika dahulu Saifuddin dan pendokong reformasi turut memperjuangkannya.
‘’Saya yakin, kenyataan tidak beradab yang dikeluarkan oleh YB Menteri Dalam Negeri ini tidak akan terhenti di sini. Kami menjangkakan pelbagai tindakan akan menyusul kerana semakin dekat PRU, semakin mengelabah dan tidak keruan pihak Saifuddin dan partinya. Mereka akan sedaya upaya cuba menjustifikasi kenyataan mereka agar mereka tidak dilihat berbohong. Semoga Allah mempercepatkan kerajaan sedia ada hari ini tumbang. Kepada Allah kami berserah,’’ katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

