PRESIDEN Indonesia Prabowo Subiato merancang membina penjara khusus di pulau terpencil untuk pesalah rasuah supaya mereka tidak boleh melarikan diri.
Ketika berucap pada majlis perasmian mekanisme baru penyaluran bantuan kepada penjawat awam Indonesia di Jakarta, semalam, beliau berkata, ‘’Saya akan wujudkan peruntukan untuk membina penjara yang sangat kukuh di suatu tempat yang terpencil, mereka (pesalah) supaya tidak boleh keluar malam hari.’’
 Prabowo menegaskan, amalan rasuah hanya membawa kehancuran kepada negara dan tidak ada negara yang kaya jika ada gejala tersebut justeru beliau tidak takut menghadapi perasuah.
‘’Saya tidak akan undur menghadapi mereka. Mereka perlu faham saya bersedia mati untuk bangsa dan rakyat negara ini. Saya tidak takut mafia mana sekalipun, saya tidak takut,’’ tegasnya.
 Mengulas kenyataan Prabowo itu, Penyelaras Masyarakat Anti-Rasuah Indonesia, Boyamin Saiman berkata, memenjarakan perasuah sahaja tidak akan mampu menghalang perbuatan berkenaan.
 Justeru beliau mencadangkan pesalah rasuah harus dimiskinkan supaya mewujudkan perasaan takut kepada sesiapa yang berhasrat melalui jenayah tersebut.
‘’Saya menyokong cadangan Prabowo. Perasuah perlu dikenakan hukuman penjara yang lama di tempat terpencil dan dimiskinkan. Maka Undang-Undang Perampasan Aset (harta) perlu diluluskan segera,’’ katanya.
Beliau berpendapat, hukuman di pulau terpencil tidak akan memberi kesan maksimum untuk menghapuskan jika perasuah tidak dimiskinkan.
‘’Perasuah sangat takut kalau dimiskinkan. Kalau sekadar dihukum di penjara terpencil, mereka masih berani melakukan rasuah, tapi kalau dimiskinkan, betul-betul dirampas habis semua hartanya, sehingga anak cucunya sudah tidak boleh makan, jadi miskin, baru lebih takut,’’ katanya.

