Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Jamuan Negeri sempena lawatan Perdana Menteri ke Sarawak di sini. Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Speaker Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah (kanan). - Foto BERNAMA

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya Lapangan Terbang Miri terus diperbesar susulan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakannya.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan jumlah pengguna lapangan terbang itu meningkat hampir 90 peratus berbanding tahun lalu dan ini mewajarkan keperluan untuk meningkatkan lagi infrastruktur berkenaan.

“Saya setuju untuk beri perhatian dan dapat juga maklumat daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Kementerian Kewangan. Pada malam ini, wajar saya umumkan bahawa projek pembesaran Lapangan Terbang Miri itu kita luluskan,” katanya.

Berucap pada majlis jamuan negeri sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak, Anwar berkata, situasi lapangan terbang di sini mengingatkannya dengan keadaan Lapangan Terbang di Sabah.

“Lapangan Terbang Tawau dianggap kecil dan tidak termasuk dalam senarai keutamaan, tetapi sekarang sudah menjadi tarikan pelancong dari Korea, Jepun dan Cina maka ia terpaksa diperbesar dengan segera,” katanya.

Yang turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar serta beberapa menteri Persekutuan dan Negeri.

Petang semalam, Perdana Menteri merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di pekarangan sebuah pusat membeli-belah terkemuka.

Program itu dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri menerusi kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air selaku kementerian peneraju serta Kerajaan Negeri Sarawak selaku tuan rumah.

Esok, Anwar dijadualkan ke Kapit di mana beliau akan meninjau beberapa projek infrastruktur Persekutuan dan menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk di bandar Kapit serta sebuah rumah panjang berdekatan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram