SEORANG ahli yang juga penjaga rumah amal berkaitan GISB Holdings (GISBH) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas satu pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, antara Februari sehingga September lalu.
Tertuduh, Mohd Syahid Hanapiah, 35 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Binti Harron @ Harun.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa yang berusia enam tahun telah menganiaya dengan cara merotan kanak-kanak terbabit yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Desa, Bandar Country Homes di Rawang, dekat Gombak, pada waktu pagi antara Februari sehingga September 2024.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak mencadangkan sebarang jumlah jaminan ke atas tertuduh, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, Nurilya Ellyna mencadangkan agar tertuduh dilarang keras untuk berjumpa dan menganggu mangsa, melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, dan tertuduh hendaklah boleh dihubungi oleh pihak berkuasa pada bila-bila masa, sebagai syarat tambahan jaminan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaiamanapun memohon agar mahkamah menetapkan jaminan yang rendah memandangkan dia sedang berdepan masalah kewangan, kerja dan keluarga.
Sejurus mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 selain bersetuju dengan ketiga-tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 November depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam tertuduh.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis menyerbu rumah amal di seluruh semenanjung negara, yang dikaitkan dengan GISBH menerusi Op Global yang dilancarkan pada awal bulan lalu.
Serbuan itu adalah susulan syarikat berkenaan disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Hasil serbuan itu, seramai 572 mangsa diselamatkan oleh pihak berkuasa serta membawa kepada penahanan 359 individu yang merupakan pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat terbabit.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

