CUTI hujung minggu di negeri Johor akan ditukarkan semula kepada hari Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025.
Perkara itu dititahkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam hantaran di Facebook rasmi baginda, hari ini.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, pertukaran cuti hujung minggu untuk negeri Johor itu dilakukan selepas mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pada masa sama, ia juga setelah mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.
“Saya juga menitahkan agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.
“Saya berharap agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya,” titah Tunku Mahkota Ismail.
Pada 23 Ogos 2022, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hujung minggu negeri Johor kepada Sabtu dan Ahad.
Baca artikel lain: Hasil perbincangan cuti hujung minggu dipersembah kepada Sultan Johor
Sebaliknya, Sultan Ibrahim bertitah akan meneliti semua faktor sebelum menitahkan keputusan.
Sebelum itu, Kerajaan Negeri Johor dilaporkan akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di negeri ini berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri ini.
Onn Hafiz dilaporkan berkata setiap pandangan berhubung pelarasan cuti minggu di Johor diterima dengan baik dan akan diteliti.
Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.
Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

