HASIL dapatan dan perbincangan penyelarasan semula cuti hujung minggu akan dipersembah untuk mendapatkan pandangan serta perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Ia susulan mesyuarat ketiga Kerajaan Negeri Johor yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.
Menurut Onn Hafiz, antara yang menjadi perhatian utama dalam mesyuarat tersebut adalah perbezaan cuti antara ibu bapa dan anak-anak.
Kata beliau, keadaan itu menyebabkan ibu bapa dan anak-anak sukar meluangkan masa bersama.
“Antara yang hadir (dalam mesyuarat) adalah wakil sektor kerajaan; swasta; pendidikan; pemain industri termasuk perbankan dan juga Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
“Keputusan yang bakal dibuat akan membabitkan 576,691 pelajar dan 1.764 juta tenaga kerja di Johor di mana majoritinya iaitu 93 peratus adalah daripada sektor swasta,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Baca artikel berkaitan: Penyelarasan cuti hujung minggu Johor masih dikaji
Mengulas lanjut, Onn Hafiz memberi jaminan tahap pendigitalan di Johor akan terus diperhebatkan walau apa pun keputusan melibatkan penyelarasan semula cuti hujung minggu berkenaan.
“Negeri yang boleh beroperasi secara digital akan lebih memudahkan urusan rakyat dan ekonomi tanpa mengira hari cuti minggu.
“Peningkatan digital ini sahaja sudah boleh menyumbang kepada kesejahteraan Bangsa Johor tanpa perlu ke kaunter fizikal,” jelas beliau.
14 Jun lalu, Onn Hafiz memaklumkan Kerajaan Negeri Johor akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan ketika ini pada hari Jumaat dan Sabtu.
Cuti minggu negeri Johor berkuat kuasa pada 1 Januari 2014 susulan titah Sultan Johor yang menitahkan pertukaran cuti itu kepada hari Jumaat dan Sabtu.
Ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, 26 Jun lalu, Onn Hafiz berkata, keputusan mengenai penyelarasan itu tidak boleh dibuat secara melulu berikutan ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Pada masa sama, ia juga perlu mendapat perkenan daripada Sultan Ibrahim.
Beliau berkata, penyelarasan itu perlu dibuat agar ibu bapa terutama yang bekerja di sektor swasta dapat meluangkan masa bersama anak-anak mereka.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

