Pelakon terkenal, Fattah Amin sah bercerai talak satu dengan isterinya, Fazura di Mahkamah Syariah Subang Bistari, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

AKTOR Fattah Amin menyangkal tuduhan bekas isteri, Nur Fazura yang mendakwaa dia berlaku curang.

Sebaliknya, Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin,34, terkejut susulan isu curang itu tidak pernah dibincangkan ketika kes cerai mereka berlangsung.

“Saya nafikan, malah peguam Fazura pun sudah cakap tiada kes curang, kenapa tiba-tiba ada kes curang?

“Itu semua saya nafikan. Saya pun ada bukti dan ia satu tohmahan untuk memalukan dan mencemarkan nama baik saya.

“Sedangkan kami sudah ada perjanjian bersama sebelum lafazkan talak,” katanya ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini, pagi tadi.

Sementara itu, ujar Fattah, mereka juga sudah menandatangani perjanjian untuk tidak mengeluarkan kenyataan mengaibkan dua belah pihak.

ARTIKEL BERKAITAN : Curang, abaikan nafkah & hidup sengsara sepanjang perkahwinan, punca Fazura fail cerai – “Dia bawa wanita lain dengan Range Rover yang saya hadiahkan” , Fazura, Fattah sah cerai talak satu

“Perjanjian kami, masing-masing perlu menjaga aib dan tidak mencemarkan nama baik. Itu perjanjian yang sudah ditandatangani bersama sebelum lafaz cerai.

“Saya agak terkejut kenapa tiba-tiba ada kenyataan sebegitu daripada Fazura. Itu yang saya sedih sebenarnya,” luahnya.

Pada masa sama, Fattah juga menepis tuduhan Fazura yang mengatakan dia tidak memberi nafkah.

Tegas Fattah, dia mempunyai semua bukti transaksi perbankan yang dibayar kepada akaun Fazura.

“Jangan main sentimen tak beri nafkah. Saya ada bukti-bukti transaksi ke mana wang saya disalurkan untuk keluarga.

“Saya tak tahulah, mungkin dia rasa tak cukup dengan nafkah yang saya berikan,” katanya.

Sebelum ini, Fazura mendedahkan tiga punca perceraian dan salah satunya mendakwa Fattah berlaku curang.

Fattah dan Fazura bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini, pagi tadi selepas tujuh tahun berkahwin.

Fattah melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh pada jam 9.45 pagi tadi.

Pasangan ini memiliki seorang anak perempuan tunggal iaitu Nur Fatima Aisya yang berusia empat tahun.