SEORANG pekerja sambilan dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menawarkan pelaburan tidak wujud kepada tiga orang individu termasuk sepasang suami isteri sehingga melibatkan kerugian berjumlah lebih RM300,000 antara Mei hingga Jun lepas.
Tertuduh, See Pep Hor, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Dihadapan Hakim Azrul, tertuduh didakwa memperdayakan seorang perunding kewangan Kok Poh Wan, 54, dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud sehingga mangsa serahkan wang berjumlah RM215,075 kepada tertuduh di sebuah tokong di Jalan Ipoh, Sentul di sini antara 16 Mei dan 13 Jun 2024.
Manakala dihadapan Hakim Hamidah, Pep Hor didakwa memperdayakan pasangan suami isteri Phua Siew Lan, 72, dan Tan Eng Khoon, 81, dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud sehingga mangsa serahkan wang berjumlah RM161,500 kepada tertuduh di Alliance Bank Cawangan Segambut, Sentul pada 27 dan 31 Mei 2024
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun sehingga 10 tahun dan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind tidak menawarkan jaminan kerana ia adalah kesalahan tidak boleh dijamin,
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin di hadapan Hakim Azrul, manakala sebanyak RM10,000 dihadapan Hakim Hamidah.
Peguam CY Yong yang mewakili
tertuduh memohon jaminan minimum ke atas tertuduh memandangkan anak guamnya menanggung keluarga dan ibu yang berusia 90 tahun selain pendapatan yang tidak memuaskan.
Susulan itu, kedua-dua hakim tersebut masing-masing membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dan RM7,000 bagi setiap pertuduhan itu.
Kedua-dua mahkamah itu kemudian menetapkan 12 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

