MALAYSIA akan mengurangkan penjanaan arang batu secara berperingkat dan tiada stesen jana kuasa elektrik arang batu baharu akan dibuka, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata usaha itu seiring dengan komitmen negara untuk beralih kepada sistem tenaga karbon rendah, menjauhi bahan api fosil dan menerima alternatif tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Menurut Fadillah, Malaysia menyasarkan peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035 dan 70 peratus pada 2050.
“Pada masa ini, kapasiti boleh diperbaharui kita berada pada 28 peratus dan kemajuan teknologi akan menjadi kritikal kepada kemajuan kita.
“Kita akan beralih daripada arang batu. Penjanaan arang batu akan dihentikan secara berperingkat dan tiada stesen jana kuasa arang batu baharu akan diwujudkan… mengurangkan kebergantungan kepada arang batu adalah penting untuk mengehadkan pemanasan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Clean Energy Transition Asia (CETA) Summit 2024 bersempena dengan International Greentech and Eco Product Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Baca artikel lain: Kerajaan belanja RM268 juta atasi masalah banjir di Sibu – TPM Fadillah
Fadillah berkata kerajaan ke arah meningkatkan fleksibiliti grid sebanyak 20 peratus dengan melabur dalam grid pintar, pendigitalan dan sistem penyimpanan tenaga menjelang 2035.
Beliau berkata langkah ini bagi menyokong dan meningkatkan keselamatan tenaga dalam kalangan negara anggota. Selain itu, grid integrasi serantau boleh menjadi pemangkin ekonomi dalam memperkukuh kerjasama serantau melalui perdagangan tenaga boleh diperbaharui merentasi sempadan.
Sementara itu, ketika Malaysia bersiap sedia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, Fadillah berkata ia menandakan peluang penting bagi negara untuk menerajui rantau ini dalam memajukan perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan.
“Inilah masanya untuk kita memacu perkongsian pengetahuan, memajukan inovasi dasar dan meletakkan Malaysia selaku peneraju serantau dalam peralihan ke arah tenaga yang lebih bersih.
“Kita akan memberikan komitmen tidak berbelah bahagi kepada kemampanan dan memacu kemajuan yang bermakna di seluruh ASEAN dengan memanfaatkan industri utama, semikonduktor, kenderaan elektrik dan pendigitalan,” katanya.
Fadillah berkata apabila permintaan global terhadap elektrik hijau meningkat, Malaysia bersedia merebut peluang ini dan berhasrat menarik lebih banyak pelaburan asing yang akan memacu ekonomi hijau negara.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram