MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan menjadikan Kompleks Darul Hidayah di Penaga, Tasek Gelugor sebagai pusat pemulihan akidah bagi kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari rumah amal kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Namun begitu, Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pihaknya akan menunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri terlebih dahulu berhubung amalan dan kepercayaan kumpulan GISBH sebelum meneruskan program pemulihan terbabit.
“Dari sudut pemulihan akidah kita tunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dahulu yang akan bersidang. Tetapi di peringkat Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) kita telah sediakan Kompleks Darul Hidayah sebagai pusat pemulihan akidah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikan Perlantikan MPKK Daerah Seberang Perai Utara (SPU); Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) bagi Penggal 2024-2028 di Kubang Menerong Tasek Gelugor, hari ini.
Mohamad berkata, keputusan majlis fatwa itu nanti bakal dibentangkan di MAINPP dan sebaik amalan serta ajaran GISBH itu difatwakan, pihaknya akan meneruskan dengan program pemulihan.
Baca artikel lain: Sultan Selangor titah tubuh jawatankuasa pemulihan kanak-kanak GISB
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata keputusan berkaitan fatwa itu kemungkinan diketahui dalam bulan ini.
Seramai 200 kanak-kanak dan remaja dipercayai anak ahli GISBH dari Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang berusia antara tiga hingga 19 tahun telah diselamatkan dan kini ditempatkan di Kompleks Penyayang Sinar Kasih di Nibong Tebal sejak 1 Oktober.
Beliau berkata, pasukan khas juga telah diwujudkan untuk menyelia dan menjaga kesemua anak-anak terbabit serta kini dalam proses pembelajaran yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang di samping bimbingan dari sudut psikologi bagi menaikkan semangat mereka selain kelas bimbingan agama.
Semalam, kerajaan Selangor memaklumkan telah menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISBH, berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 2 Okt lepas.
Polis melancarkan Op Global awal September lepas dan menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Hasil serbuan, seramai 572 termasuk kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan selain 359 pengikut turut ditahan termasuk pengurusan tertinggi syarikat terbabit.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

