SELEPAS sekian lama ditimpa dugaan bertalu-talu, akhirnya kehidupan empat beradik bagaikan ada sinar di hujung terowong.
Episod sedih yang menyelubungi hidup M Ranjini, 17 serta tiga lagi adiknya, Sumen Raj, 15; Kishor Raj, 14; dan Bhuvana, 10, berakhir selepas Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) tampil menghulurkan bantuan.
Mendasari kesedihan dan kekurangan hidup empat beradik berkenaan, Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, yayasan tersebut telah memperuntukkan sebanyak RM10,900 setahun bagi meringankan beban dihadapi mereka.
“Mereka berhadapan dengan dugaan yang cukup besar untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Situasi ini pasti akan memberikan kesan jangka panjang kepada anak-anak ini jika kita tidak memberikan perhatian yang serius kepada masa depan mereka.
“Kita tidak boleh menutup mata atau mengabaikan nasib anak yatim dan yatim piatu COVID-19 seperti ini yang berada di sekeliling kita,” katanya yang menyantuni empat beradik itu di rumah datuk mereka di Taman Bukit Mutiara, Seremban.
Ia sempena program Ziarah Kasih YKM bersama Baker’s Cottage bagi merayakan hari Deepavali yang bakal kunjung tiba.
Baker’s Cottage turut memberi sumbangan makanan dalam program tersebut.
Kehidupan empat beradik itu disebulungi kesedihan dan trauma selepas pandemik COVID-19 meragut nyawa ibu kesayangan, G Tamilselvi pada 18 September 2021.
Tragedi itu turut mencetuskan krisis sosial yang serius dan tragis buat empat beradik itu apabila terpaksa menumpang teduh di rumah datuk mereka, S Gunasigaram yang uzur dan tidak bekerja.
Baca artikel lain: Pendidikan agenda utama YKM – Ismail Sabri
Ranjini dan adik-adiknya yang terputus hubungan dengan bapa kandung sejak sembilan tahun lalu kini bergantung ihsan dengan ibu saudara mereka, G Magies.
Sementara itu, YKM turut memberikan sumbangan kepada sembilan lagi keluarga COVID-19 yang merayakan sambutan Hari Deepavali yang merupakan perayaan penting bagi komuniti Hindu di Malaysia.
Sembilan keluarga tersebut terdiri daripada lima keluarga di Selangor; dua di Negeri Sembilan dan dua lagi masing-masing di Melaka dan Pahang.
Semua keluarga berkenaan akan menerima sumbangan serupa yang dikreditkan ke akaun masing-masing.
YKM yang ditubuhkan pada tahun 2021 memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk terus membantu hampir 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu merentasi agama dan bangsa melalui Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan SPM serta pengurusan.
Pada masa yang sama, YKM kini sedang melaksanakan pemutihan data bagi mengemaskini maklumat diri dan keluarga melalui borang yang telah dihantar menerusi emel dan aplikasi WhatsApp.
Pengemaskinian maklumat diri dan keluarga itu perlu bagi memudahkan penyaluran bantuan dan program untuk tahun 2025.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram