PENAMBAHAN RM5.3 bilion bagi skop reinstatement menjadikan kos keseluruhan projek stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) adalah sebanyak RM21.93 bilion.
Begitupun, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, jika dibandingkan dengan kos asal projek LRT3, jumlah kos terkini adalah masih rendah dengan penjimatan sebanyak RM9.72 bilion.
Jelas beliau, sumber pembiayaan bagi skop reinstatement sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
“Kos asal projek LRT3 yang diluluskan pada 2015 adalah sebanyak RM31.65 bilion. Namun begitu, selaras dengan langkah penjimatan oleh kerajaan, pada 2018 kos tersebut telah dikurangkan kepada RM16.63 bilion melalui pengurangan skop projek.
“Untuk makluman, pembinaan lima stesen di bawah projek LRT3, iaitu Stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik, telah ditangguhkan pada tahun 2018 susulan langkah penjimatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata, pelaksanaan projek itu akan diteruskan bagi skop reinstatement lima stesen tersebut tertakluk kepada kelulusan projek dan penyaluran dana daripada MOF atau Kementerian Ekonomi (KE).
Jelas beliau, pada masa kini, pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang memuktamadkan butiran teknikal dan kewangan Perjanjian Kontrak Tambahan.
Katanya, skop kerja reinstatement melibatkan skop reka bentuk dijangka akan bermula pada suku pertama 2025.
“Kerja-kerja fizikal dijangka akan bermula pada suku keempat 2025 bagi tempoh dua tahun. Pembinaan lima stesen ini dijangka siap pada suku keempat 2027 dan dijangka akan beroperasi bermula pada suku kedua 2028,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

