PROSES pemilihan sayap Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa bermasalah sehingga menyaksikan keputusan asal telah ditukar pada saat akhir.
Memetik laporan Sinar Harian Online, calon yang bertanding jawatan Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Fadzilah Kamaruddin kecewa apabila Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bertindak menangguhkan keputusan pemilihan pada malam hari mengundi Sabtu lalu.
Beliau yang juga bekas Ketua Srikandi Muda Bersatu pada penggal lalu mendakwa telah dimaklumkan berjaya memenangi saingan itu pada awalnya.
Nurul Fadzilah berkata, beliau juga telah meminta penjelasan daripada JPP berhubung keputusan menangguhkan keputusan pemilihan selama dua hari.
Namun begitu, katanya, tiada sebarang maklum balas yang diterima daripada JPP mahu pun Jawatankuasa Pengurusan Parti.
“Secara keseluruhannya, keputusan itu amat mengecewakan kerana proses pengundian tidak dilaksanakan JPP dengan baik.
“Beberapa perkara telah ditukar pada saat akhir tanpa sebarang maklum balas diberikan JPP kepada sayap Srikandi Muda dan bahagian-bahagian terlibat.
“Contohnya bahagian yang layak bersidang dan memilih tidak dibenarkan bersidang pada hari pengundian, bagaimanapun ada beberapa bahagian yang tidak layak bersidang sebaliknya dibenarkan melaksanakan pemilihan,” katanya.
Baca artikel lain: Hilman Idham sah dipilih Ketua Armada Bersatu
Dalam pada itu, Nurul Fadzilah turut mendakwa beberapa individu berpengaruh telah campur tangan dengan membuat ugutan kepada perwakilan bagi memilih calon tertentu.
Susulan itu, katanya, keadaan itu telah menyebabkan proses demokrasi tidak berjalan dengan baik.
“Di sebalik permasalahan itu, saya sentiasa berbesar hati untuk meraikan demokrasi dalam parti melalui pelaksanaan proses pemilihan Bersatu.
“Cuma saya kesal dengan proses pemilihan kali ini yang secara jelas berada di bawah pengaruh individu tertentu yang pastinya sudah menghancurkan proses demokrasi, meskipun secara permukaannya tiada pengaruh cai berlaku,” katanya.
Semalam, Pengerusi JPP Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengumumkan Nurul Fadzilah tewas kepada Nurul Ezzati Azmi dalam perebutan jawatan Ketua Srikandi Muda Bersatu.
Pemilihan sayap parti berkenaan turut ditandingi seorang lagi calon iaitu Hefvihervina Rohayu Hariyanto dari Bahagian Ayer Hitam.
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan undi diterima ketiga-tiga calon itu tidak dinyatakan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

