Pemilihan Bersatu: Jangan biarkan agenda politik peribadi runtuhkan parti

Dari Penulis

SERONOK sungguh musuh politik Bersatu apabila tercetus ‘keributan’ selepas pengumuman bagi pemilihan jawatan Ketua Armada dan Ketua Srikandi Muda Bersatu pada Isnin dan Selasa lalu.

Biarpun hanya melibatkan sayap Bersatu, namun kekalutan itu sudah cukup memberi peluru kepada musuh-musuh politik untuk memperlekehkan parti tersebut.

Kemenangan ADUN Gombak Setia, Mohamad Hilman Idham menewaskan Akmal Zahin Zainal bagi jawatan Ketua Pemuda dijadikan bahan oleh penganalisis politik ‘maha bijaksana’ untuk memburuk-burukkan Bersatu.

Mereka menyatakan wujud pertembungan antara kelompok Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan kelompok pro Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga menyebabkan keretakan dalam Bersatu tidak boleh disembunyikan lagi.

Ia lanjutan daripada wujud dakwaan ada campur tangan individu berpengaruh dalam pemilihan kali ini.

Penulis tidak pasti sama ada dakwaan itu benar atau tidak, tetapi penangguhan pengumuman keputusan bagi pemilihan kedua-dua sayap itu telah menyebabkan tercetusnya pelbagai spekulasi.

Ia termasuklah ada yang mempersoalkan bagaimana ratusan undi milik Akmal Zahin ditolak hingga beliau tewas kepada Mohamad Hilman.

Apapun kita harus menerima penjelasan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bahawa mereka membuat keputusan mengikut bidang kuasa dimiliki, Perlembagaan parti dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Cuma apa yang diharapkan ‘keributan’ tidak akan berjangkit pada pemilihan MPT termasuk bagi jawatan Naib Presiden, esok walaupun penulis sudah mendengar ‘keriuhannya’ semakin rancak.

Atas sebab itulah walaupun JPP tidaklah setaraf Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi mereka mempunyai tanggungjawab amat besar untuk memastikan pemilihan Bersatu berjalan lancar, pengundian dilakukan secara telus dan keputusannya penuh integriti.

JPP perlu memastikan apa yang berlaku ketika pemilihan Armada dan Srikandi Muda tidak berulang di peringkat pemilihan MPT dan bahagian-bahagian.

Ia kerana kalaulah ada ‘keributan’ akibat mainan politik mana-mana ‘individu berpengaruh’ maka kasihanlah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang awal-awal lagi cuba mengelakkan perpecahan apabila mencadangkan Hamzah menjadi Timbalan Presiden dan Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung.

Malangnya sekarang sudah kedengaran ‘bisikan-bisikan’ supaya kelompok pro pemimpin tertentu tidak harus dibiarkan menang dalam pemilihan kali ini walaupun calon itu berwibawa dan boleh menjadi aset kepada parti.

Sebagai sebuah parti yang menjunjung demokrasi, tegar memperjuangkan hak bersuara dan menjulang integriti, tidak harus ada mana-mana pemimpin yang cuba memporak-perandakan Bersatu melalui pemilihan parti.

Biarlah ahli-ahli diberikan kebebasan sepenuhnya membuat keputusan manakala JPP biarpun tidak sehebat SPR tidak harus diganggu untuk melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka.

Baca artikel lain: Pemilihan Armada Bersatu: Adakah benar-benar telus atau ada campur tangan?, soal Muhammad Faiz

Penulis yakin dan percaya sepenuhnya bahawa JPP berkecuali dan bebas sepertimana SPR, mereka tidak akan mengkhianati amanah hanya kerana mahu memuaskan nafsu politik mana-mana pemimpin.

Malah penulis juga percaya Muhyiddin, Hamzah dan Azmin pun mahu JPP memastikan pemilihan berjalan secara lancar, telus dan berintegriti.

Tidak mungkin ada antara mereka yang bersikap di depan cakap lain, di belakang buat lain sehingga akan menghuru-harakan parti.

Perlu diingat pemilihan Bersatu kali ini amat penting untuk menentukan hidup mati parti itu dalam PRU-16, bukannya untuk mempertahankan, mengekalkan atau mengangkat mana-mana pemimpin untuk terus berkuasa atau diberi kuasa.

Pemilihan ini adalah bagi membentuk satu pasukan terbaik dan ampuh yang akan bersama-sama dengan Muhyiddin dan Hamzah serta Pas turun ke gelanggang PRU-16 bagi menentang PH-BN.

Itulah musuh sebenar mereka, itulah lawan mereka bukannya ‘berbunuhan’ sesama sendiri semata-mata mahu memastikan kelompok mereka menang dalam pemilihan parti.

Apa guna ada kuasa dalam parti, apa guna kelompok kita menang pemilihan, kalau akhirnya parti merempat dalam PRU-16!

Sebab itulah Muhyiddin membuat pelan damai supaya tidak berlaku pertembungan bagi jawatan tertinggi khususnya Timbalan Presiden apabila mencadangkan Hamzah menduduki tempat tersebut.

Walaupun Hamzah dikatakan berhak mencuba nasib bagi kerusi Presiden memandangkan beliau juga adalah Ketua Pembangkang namun Ahli Parlimen Larut itu patuh dengan niat murni Muhyiddin kerana kepentingan parti mengatasi segala-galanya.

Oleh itu jangan ada tangan-tangan ghaib, tok dalang, sikap hipokrit, ‘batu api’ atau ‘individu berpengaruh’ yang cuba merosakkan pelan damai Muhyiddin kerana tindakan tersebut adalah satu pengkhianatan.

Tidak salah ada kelompok pro pemimpin tertentu ketika pemilihan sesebuah parti kerana ia bagi membolehkan ahli-ahli memilih mana yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik.

Tetapi janganlah kewujudan kelompok tersebut mencetuskan perpecahan disebabkan mempunyai agenda untuk jatuh menjatuh antara satu sama lain akibat sindrom ‘takut bayang-bayang’.

Kesimpulannya, pemilihan Bersatu akan turut menjadi penanda aras kepada rakyat khususnya orang Melayu untuk menilai sejauh manakah parti itu layak menjadi alternatif menggantikan UMNO.

Sementara JPP mempunyai tanggungjawab besar memastikan pemilihan lancar, pengundian telus dan keputusan berintegriti, jangan pula ada pemimpin Bersatu yang bersikap hipokrit hingga mencemarkan proses tersebut demi agenda politik peribadi!

Percayalah bisik-bisik siapa individu itu sudah ada cuma penulis mahu melihat apakah agenda itu akan terlaksana esok!

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Adakah beliau mendapat tawaran? Srikandi Bersatu luah rasa kecewa atas tindakan Alwiyah

SRIKANDI Bersatu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Alwiyah Talib yang memilih untuk meninggalkan parti dan menyatakan sokongan kepada Barisan...

More Articles Like This