SEBANYAK tujuh modul sedang dibangunkan berhubung silibus pemulihan akidah pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia membabitkan akidah dewasa dan kanak-kanak, rohani dan jati diri, Kelas A-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pembangunan remaja, kepimpinan umat insaniah serta modul psikospiritual.
“Jawatankuasa khas yang saya bentuk itu sudah beberapa kali bersidang, jadi mereka sudah sampai peringkat akhir (menyediakan modul dan silibus).
“Insya-Allah nanti sampai masa, saya akan mengadakan satu sidang khas untuk memaklumkan mengenai silibus baharu itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan Tahun 2024, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo.
Baca artikel lain: Subsidi bersasar RON95 perlu dibuat, elak ketirisan subsidi – Amir Hamzah
Media sebelum ini melaporkan kerajaan melantik Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil untuk mengetuai jawatankuasa bagi membentuk modul silibus pemulihan akidah kanak-kanak GISBH yang diselamatkan pihak berkuasa, baru-baru ini.
Ahmad Fauwaz yang juga anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Mohd Noor adalah Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan satu jawatankuasa khas pemulihan akidah pengikut GISBH, sedang giat membangunkan silibus bersesuaian untuk anak-anak pengikut kumpulan terbabit.
Dalam pada itu, Mohd Na’im mahu JAWHAR sentiasa komited bergerak secara sinergi, seiring serta sejalan bersama Majlis Agama Islam Negeri dan Agensi Mengurus Zakat bagi menyokong usaha memartabatkan pengurusan zakat di Malaysia.
“Peranan zakat dalam melestarikan ekonomi sememangnya tidak dapat dinafikan. Zakat adalah suatu instrumen dalam pemberdayaan ekonomi.
“Sebagai instrumen pemberdayaan ekonomi, bantuan zakat dapat digunakan untuk memulakan atau menyokong perniagaan kecil dan sederhana.
“Hal ini bukan sahaja membantu penerima zakat, tetapi turut mencipta peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

