YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memandang serius kes buli yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga mengakibatkan seorang penuntut mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Pada masa sama, Seri Paduka bertitah supaya budaya buli itu tidak boleh dibiarkan berlarutan.
Dalam hantaran di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim menegaskan perkara itu bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.
Sultan Ibrahim bertitah, kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.
Titah Seri Paduka, latihan keras dalam pasukan tentera adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat seperti yang pernah dilalui baginda sewaktu menjalani latihan ketenteraan.
“Namun, ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah Seri Paduka.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara, hari ini.
Baca artikel lain: Syed Saddiq kemuka usul tergempar bincang insiden buli di UPNM
Ahad lalu, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, ketika kejadian mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga dan kini dilaporkan sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Khamis lalu, seorang pelajar tahun empat dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas menekap seterika terhadap seorang pelatih tahun dua.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

