Yayasan PEKEMA lancar ‘Charity BOX Yayasan PEKEMA’ jenamakan semula inisiatif CSR

Dari Penulis

PERSATUAN Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melalui Yayasan PEKEMA melancarkan Program ‘Charity BOX Yayasan PEKEMA’, hari ini sebagai salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Ia juga merupakan inisiatif untuk menjenamakan semula atau memberi nafas baharu kepada aktiviti-aktiviti kebajikan PEKEMA.

Program ini mendapat sokongan daripada anak syarikat PEKEMA iaitu Central Auto Distributors Berhad (CADB) yang sukacita menawarkan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi sepanjang inisiatif berlangsung.

Untuk kali ini, Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra atau dikenali sebagai ‘Mesra Home’ dipilih untuk disantuni dengan pelbagai aktiviti dijalankan yang turut disertai wakil Yayasan PEKEMA, CADB, Sukarelawan Kelab Rekreasi & Sukan PEKEMA (KRESMA) serta Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA.

Pada program ini, Yayasan PEKEMA menyumbang sebanyak RM40,900 kepada pertubuhan berkenaan, di mana sebahagian besarnya iaitu RM20,000 digunakan untuk menambah baik premis jagaan, manakala baki diberikan kepada 19 warga emas dan lima orang penjaga.

Pengarah Operasi CADB, Datuk Sheikh Mohamed Zulkifli SM Amin berkata, Yayasan PEKEMA berharap program ini dapat memberikan sinar kebahagiaan kepada warga emas yang telah banyak berbakti dan berkorban untuk masyarakat.

Katanya, warga emas adalah permata yang amat berharga dan sudah semestinya berhak menerima kasih sayang serta perhatian sepenuhnya daripada seluruh komuniti sebagai tanda penghargaan atas segala sumbangan mereka.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini, di mana Yayasan PEKEMA dapat melancarkan Program Charity BOX Yayasan PEKEMA buat julung kalinya.

“Program ini bukan sahaja menggambarkan komitmen kita terhadap kesejahteraan warga emas, tetapi menandakan titik penjenamaan semula satu inisiatif besar yang akan terus berjalan untuk memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita.

“Sebagai langkah pertama, kita berada di sini, di Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, di mana kita memberi sumbangan kepada warga emas yang telah banyak berbakti kepada negara.

“Program pada hari ini bukan sekadar memberi bantuan kewangan, tetapi juga melibatkan aktiviti-aktiviti yang menyatukan kita semua dalam semangat gotong-royong dan kasih sayang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau pada masa sama berbesar hati dan teruja kerana diberi kesempatan untuk menjadi pembekal kenderaan rasmi Dongfeng BOX bagi Program Charity BOX yang dianjurkan oleh Yayasan PEKEMA.

“Ini adalah satu penghormatan besar bagi kami, dan kami melihat ini sebagai peluang yang sangat bermakna untuk turut serta dalam usaha murni menyantuni golongan warga emas yang telah banyak berjasa kepada masyarakat.

“Kami percaya bahawa dengan menyumbangkan kenderaan elektrik Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi, kami dapat memberikan sokongan kepada program ini dari segi logistik, sekali gus memastikan perjalanan program ini berjalan dengan lancar dan selesa.

“Ini adalah salah satu cara kami untuk menyumbang kepada komuniti, khususnya kepada mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Ini bertepatan juga dengan salah satu tema utama kenderaan ini yang membawa mesej kasih sayang ‘BOX of Love’.

“Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja dapat memudahkan perjalanan program, tetapi juga dapat memperkukuh lagi hubungan antara CADB dan Yayasan PEKEMA dalam mencapai matlamat kebajikan bersama,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Yayasan PEKEMA, Mohd Yusof Rebu berkata, Yayasan PEKEMA merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini khususnya kepada CADB, KRESMA serta Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan usaha ini, untuk memastikan kebajikan warga emas sentiasa terbela, dan mereka terus menerima kasih sayang yang selayaknya,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

SAR Gunung Batu Putih: Tiada petunjuk baharu, penemuan barangan bukan milik Jaslinda

PENEMUAN beberapa barangan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49 disahkan bukan...

More Articles Like This