PASANGAN suami isteri antara empat ditahan bersama rampasan dadah bernilai RM499,974 dalam tiga serbuan di sekitar Kajang, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam serbuan pertama pukul 11.30 pagi di sebuah rumah dekat Semenyih, pasangan suami isteri berusia 29 dan 36 tahun telah ditahan bersama rampasan ganja seberat 2,100 gram (g).
Beliau berkata, semakan mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penternak udang galah didapati positif dadah jenis THC.
Sementara isterinya yang tidak bekerja itu negatif dadah.
“Semakan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 telah diambil dengan menyita Perodua Myvi bernilai RM25,000,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Susulan tangkapan ini, seorang lelaki tempatan telah ditahan di tempat letak kereta dekat sekitar Semenyih pada pukul 2.45 petang bersama rampasan ganja (5,274 g).
Katanya, suspek berusia 37 tahun yang juga merupakan penganggur ini tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan positif dadah THC.
“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 telah diambil dengan menyita wang tunai RM102,” katanya.
Naazron berkata, pada pukul 3.30 petang, seorang lagi penganggur ditahan di sebuah rumah dekat Semenyih bersama rampasan ganja mampat (28,908 g), bunga ganja (7,589 g), balutan rokok berisi ganja (120 g) serta rokok elektronik berisi campuran ganja seberat 2,953 g.
Katanya, suspek berusia 39 tahun ini yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mempunyai tiga rekod kesalahan lampau.
“Saringan ujian air kencing positif THC.
“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 telah diambil dengan menyita wang tunai RM103,” katanya.
Jelasnya, pasangan suami isteri tersebut telah ditahan reman selama empat hari sementara dua lagi suspek dibenarkan reman selama enam hari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Naazron berkata, orang ramai dialukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah terutama dadah kepada polis bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

