Berebut rumah pusaka

Dari Penulis

ALKISAH ada satu cerita yang didongengkan. Ia perihal seorang atuk yang kaya raya, ada sebuah rumah pusaka ibarat mahligai tersergam indah, sarat dengan khazanah harta karun.

Bila si atuk meninggal dunia, Pak Ngah yang sudah uzur, jadi pewaris. Tak lama kemudian Pak Ngah pula meninggal dunia. Abang Long diamanahkan menjaga rumah pusaka bersama adik-beradiknya.

Makin lama perangai Abang Long semakin pelik. Adik-beradik dibatuapikannya untuk bergaduh sesama sendiri. Niat tersembunyinya ialah untuk tiada siapa dalam kalangan mereka dapat merampas rumah pusaka daripada tangannya.

Di kedai Ah Meng di kampungnya, jadi tempat mereka adik-beradik membeli-belah keperluan harian. Di situlah juga mereka adik beradik sering cakap-cakap belakang mengumpat hal-hal keluarga. Seronoklah Ah Meng pasang telinga, kot-kot nanti bila mereka berpecah-belah, dapatlah dikebasnya rumah pusaka itu.

Ah Meng memang mengidam hendakkan rumah pesaka itu. Ia bukan sekadar sebuah mahligai. Ia rumah pusaka terpendam segala khazanah ratusan tahun yang datuk nenek Abang Long bina.

Sekali sekala adik beradik Abang Long sarapan roti canai di kedai Muthu. Pun sama ceritanya, asyik mengumpat hal adik beradik saja. Penuh telinga si Muthu dengan cerita perihal sengketa keluarga. Abang Long semakin keras kepala dan mengganas lagakan adik-beradiknya.

Penyudahnya, budaya dan perangai semua adik-beradiknya sama saja, hebat dan juara dalam bercakaran sesama sendiri. Ada saja yang tak kena di mata masing-masing.

Ah Meng juga yang untung, menangguk di air keruh. Muthu juga yang untung, ikut apa yang Ah Meng akan dapat, sebab Muthu juga ada banyak cerita perihal sengketa adik-beradik Abang Long.

Alkisah seterusnya, sengketa Abang Long adik beradik bukan lagi sekadar mengumpat dan cakap-cakap belakang. Mereka sudah berhijrah ke tahap berpatah arang berkerat rotan.

Baca artikel lain: Pensijilan halal: Hak dan tanggungjawab Kerajaan

Akhirnya, rumah pusaka yang menyimpan ribuan khazanah itu mereka tergamak bakar, dek amarah sesama sendiri. Dek tak mempercayai sesama sendiri. Dek dengki mendengki sesama sendiri. Bukan salah Ah Meng. Bukan salah Muthu.

Tergamak Abang Long berabang adikkan pula dengan Ah Meng dan Muthu, asalkan tidak bersama dengan adik-beradik sedarah daging dengannya.

Abang Long sepakat bersama membina rumah baharu di tapak dan atas abu rumah pusaka itu. Silapnya Ah Meng, yang banyak keluar duit bina semula rumah di tapak rumah pusaka itu, dia jadi gelojoh. Dia jadi kiasu.

Ah Meng nak kawal semua urusan dalam rumah tangga itu, konon katanya dia yang taja pembinaan rumah pusaka baru. Juga kerana Ah Meng tahu Abang Long tak boleh dipercayai. Ia akan tikam belakangnya jua.

Jika dengan adik beradik sendiri pun tergamak dia berbuat demikian, masakan dengannya Abang Long akan jadi malaikat.

Belum pun ke mana, Ah Meng dan Abang Long dah bergaduh besar. Abang Long balik ke perangai lamanya, suka bakar membakar. Dibakarnya rumah pusaka baharu yang baru terbina itu.

Ah Meng menyesal tak sudah, sebab belum sempat menjinakkan Abang Long, dek kegelojohannya, semuanya kembali jadi abu.
Ah Meng (dan Muthu) gagal menjinakkan Abang Long yang sememangnya diktator dan makhluk perosak terbilang.

Ah Meng insaf akan kegelojohannya. Muthu mengiyakan saja keinsafan Ah Meng. Di atas tapak rumah pusaka itu kini terbina rumah bangsal sementara oleh adik-beradik Abang Long yang degil, tak ikut cakapnya.

Malangnya, adik-beradik Abang Long itu dah sebati dengan perangai suka bercakaran sesama sendiri. Tinggal di rumah bangsal pun, itulah perangai mereka.

Semuanya sama, macam kucing dengan anjing. Abang Long tetap Abang Long. Dia bertekad meruntuhkan rumah bangsal adik-beradiknya itu tanpa ihsan.

Abang Long tahu sesama mereka itu pun bukan boleh tidur sebantal. Abang Long amat arif, dah tak ada budaya itu dalam kalangan adik-beradiknya. Entah-entah setiap malam masing-masin tidur dan sorok keris di bawah bantal.

Benar firasat Abang Long. Rumah bangsal itu roboh dalam sekelip mata. Al kisah, semua adik beradik Abang Long dah semacam enau dalam belukar.

Semua adalah oportunis, utamakan tembolok dan tengkuk masing-masing. Sanggup gadai apa saja, waima maruah, demi dapat memiliki kembali tapak rumah pesaka itu.

Ah Meng dan Muthu merasa lega. Ini peluang kedua mereka untuk merampas kembali tapak rumah pusaka dan membina rumah pesaka baharu, untuk kedua kalinya.

Hajat Ah Meng terlaksana juga, dapat bersama adik Abang Long yang seorang ni, yang sekian lama disisih ibarat kera sumbang.

Bagi Abang Long bersama adik beradik yang lain, rumah bangsal pun tiada, usahkan rumah pusaka. Pun sengketa sesama mereka masih keutamaannya. Abang Long adik-beradik yang lain akhirnya berputih mata kerana Ah Meng sudah ada pilihan lebih baik dan talian hayat kedua.

Kali ini Ah Meng tidak akan mengulangi kesilapan lampau. Rumah pusaka akan kekal jadi miliknya. Bukan salah Ah Meng, bukan salah Muthu, rumah pusaka jadi miliknya.

Itu rezeki Ah Meng. Itu rezeki Muthu. Itu salah Abang Long adik-beradik. Pun Abang Long adik beradik masih tak reti nak insaf.

Dah tinggal di rumah bangsal atas lot tanah TOL ihsan kerajaan tempatan pun Abang Long adik-beradik terus bercakaran sesama sendiri. Mereka dah sebati, tak dapat berpisah dengan budaya itu.

Abang Long adik-beradik adalah si luncai. Bukan salah ibu yang mengandungkan mereka.

Dari rumah bangsalnya Abang Long adik-beradik merenung andai kata rumah pusaka itu dapat dimiliki semula. Mereka sekadar berangan. Merekalah Mat Jenin.

Mereka tahu, rumah pusaka itu tidak akan kembali ke tangannya. Kampung warisan mereka pun bakal bertukar nama. Nama asal kampung warisan datuk neneknya, konon katanya tiada nilai komersial.

Apa ada pada nama Kampong Datuk Abdullah Hukum atau Kampung Kerinchi di tengah-tengah kota raya pesat membangun. Abang Long adik beradik peduli apa.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Anwar menghadap TMJ dalam suasana mesra, harmoni

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, hari ini. Menurut...

More Articles Like This