PIMPINAN Pas diminta supaya bersabar dengan tidak membakar ‘kelambu’ susulan tindakan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN), semalam.
Dalam sidang media di Parlimen, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui agak sukar untuk mengulas berhubung isu tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, ia kerana dirinya tidak lagi terlibat dalam pimpinan tertinggi Bersatu kerana bukan lagi Ketua Armada parti tersebut.
Bahkan, katanya, beliau juga tidak terlibat dalam Majlis Tertinggi PN.
“Keputusan dibuat Ahmad Samsuri, bagi saya nak ulas panjang pun susah sebab taktau kepala ekor, punca kenapa beliau letak jawatan.
“Itu hanya beliau dengan Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
“Saya doakan dan mungkin merayu kepada rakan-rakan dalam Pas supaya bersabar dan janganlah marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Itu pesanan saya kepada rakan-rakan dalam Pas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut mengakui terkejut dengan berita peletakan jawatan Ahmad Samsuri itu.
Baca artikel lain: Ahmad Samsuri letak jawatan Bendahari Agung PN
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah menyatakan tidak mempunyai maklumat berhubung peletakan jawatan itu.
“Sudah pasti saya terkejut, tapi yang lain saya tidak pasti.
“Saya tak tahu sebab saya baru saja dilantik pada Isnin hari itu, jadi saya tidak ada apa-apa maklumat.
“Yang itu kena tanya pada (Pengerusi PN) Tan Sri (Muhyiddin Yassin). Saya memang tidak ada maklumat kerana lagi pun saya baru dilantik dan kali pertama datang mesyuarat pada malam terbabit.
“Malam itu memang Yang Amat Berhormat (Ahmad Samsuri) tak ada, tak hadir,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Samsuri dilapor telah meletakkan jawatan sebagai Bendahari Agung PN, semalam.
Memetik laporan Harakahdaily, peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu itu telah disampaikan menerusi kenyataan ringkas kepada pimpinan tertinggi Pas Pusat.
Dalam kenyataan berkenaan, Ahmad Samsuri memaklumkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pimpinan PN, semalam.
Peletakan jawatan itu dilihat sebagai sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau dilihat sebagai pemimpin berprofil tinggi dalam Pas dan PN.
Ia hadir hanya dua hari selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang mengesahkan pelantikan enam jawatan penting iaitu Setiausaha Agung, Ketua Wanita, Ketua Penerangan serta ahli majlis tertinggi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

