MAHKAMAH Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini mengarahkan pasangan pelakon, Diana Danielle dan Farid Kamil untuk melantik Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana Danielle selepas prosiding sebutan kes cerai di hadapan Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin, selesai pagi tadi.
Menurut beliau, arahan mahkamah itu adalah susulan Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43, tidak bersetuju untuk menceraikan isterinya itu buat kali kedua.
“Oleh itu, arahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 47 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
“Pihak JKP akan melihat dan mendengar kedua-dua pihak, dan akan memberikan cadangan kepada mahkamah tentang pendirian kedua-dua belah pihak.
“Lantikan bagi pihak Diana untuk wakil JKP sudah dibuat dan defendan (Farid) perlu melakukan perkara yang sama,” katanya.
Peguam Syarie Fakhrul Azman Abu Hassan mengesahkan bahawa Farid berpendirian untuk tidak bersetuju bagi meneruskan penceraian kali ini.
“Keputusan Farid pada hari ini, dia tak mahu lafazkan cerai dan dia ingin berusaha untuk mendamaikan rumah tangga dengan melantik JKP,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa pihaknya telah menerima salinan sijil perakuan rujuk daripada pihak Diana Danielle sepertimana yang diarahkan oleh mahkamah pada tarikh sebutan terdahulu.
Mahkamah menetapkan 24 Mac tahun hadapan bagi sebutan semula dan laporan JKP.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas prosiding selesai, Diana Danielle atau sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, menyifatkan suaminya itu seolah-olah tidak berpijak pada bumi yang nyata dan hanya berangan rumah tangga mereka masih boleh diselamatkan.
“Apabila saya sudah rujuk dengan dia selama setahun, bukankah itu satu peluang untuk kita berdamai dan cuba memperbaiki keadaan.
“Berpijaklah pada bumi yang nyata… lepaskan dan jangan zalimi saya. Saya rasa buang masa sebab tiada yang berubah,” luahnya.
Farid bagaimanapun menegaskan dirinya masih mahu mempertahankan rumah tangga bersama isterinya itu atas alasan masih mencintai dan menyayangi wanita itu.
“Kasih sayang ini, bukan boleh dijual. Saya sayangkan isteri dan anak-anak saya dan perjuangan mesti diteruskan.
“Ada cahaya d ihujung terowong, Insya Allah,” luahnya.
Sebelum ini UtusanTV melaporkan Diana Danielle sekali lagi nekad memfailkan permohonan rujuk dan permohonan cerai buat kali kedua ekoran tiada lagi persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan.
Oktober lalu, kisah kemelut rumah tangga pasangan pelakon ini kembali hangat apabila Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua menerusi satu di Instagram Story miliknya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana memfailkan permohonan cerai buat kali pertama di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari ekoran tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Kemudian pada 10 Ogos 2023. Farid dan Diana sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet namun mereka rujuk sebulan kemudian.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

