PELAWAK, Along Cham dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 60.31 gram di dalam sebuah kediaman, Sabtu lalu.
Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Fuad Othman, beliau didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.24 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, dekat sini pada ham 3.10 petang, 14 Disember lalu.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan itu dibacakan ke atasnya.
Pertuduhan bagi kesalahan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.
Sabit kesalahan, Along berdepan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan hukuman sebat sehingga 10 sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh memandangkan pertuduhan dibawah Seksyen itu merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Along yang berdiri di dalam kandang tertuduh dengan memakai sepasang baju lokap polis berwarna ungu bagaimanapun merayu agar dibenarkan jaminan atas alasan mempunyai anak yang akan mula bersekolah pada tahun hadapan.
Hakim Ahmad Fuad kemudian memberitahu Along bahawa undang-undang memperuntukkan mana-mana individu yang didakwa atas Seksyen tersebut tidak boleh dibenarkan jaminan.
“Saya sudah cakap tak boleh jamin. Undang-undang kata tak boleh jamin, alasan anak sekolah ke apa, memang undang-undang kata tak boleh jamin.
“Kalau boleh jamin dan bergantung kepada (budi bicara) mahkamah, boleh saya pertimbangkan untuk bagi jamin. Tapi undang-undang kata tak boleh jamin,” katanya.
Hakim Ahmad Fuad kemudian menetapkan tarikh 27 Januari tahun hadapan bagi sebutan semula kes dan laporan kimia.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, pelakon filem bersiri ‘Adnan Sempit’ itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 2.07 gram di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Pengakuan tidak bersalah itu dilakukan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Bagi kesalahan itu, bekas peserta program realiti komedi, Raja Lawak itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6 sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ain Madihah Zulkifli tidak menawarkan jaminan bagi kes itu memandangkan Along sudah didakwa di Mahkamah Sesyen dan tidak dibenarkan jaminan.
Bagaimanapun peguam Mohd Fadly Hashim yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan ke atas anak guamnya itu memandangkan menanggung isteri dan empat orang anak.
“Anak guam bekerja dalam bidang hiburan dan pendapatannya tidak tetap,” katanya.
Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Muhammad Bukhori kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 selain menetapkan 28 Februari 2025 bagi laporan kimia.
Sebelum ini pada 15 Disember lalu, UtusanTV melaporkan pihak polis mengesahkan selebriti lelaki tempatan yang ditahan kerana disyaki memiliki ganja di sebuah rumah di Cyberjaya pada Sabtu adalah pelawak Along Cham.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

